Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hannah semeja dengan Johari tapi Razlan bangkitkan soal keikhlasan
Diterbitkan:  Jun 10, 2026 12:54 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Kerjasama politik dalam kerajaan perpaduan seharusnya diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi dengan keikhlasan, bukannya sekadar menjadi slogan retorik, kata Ketua Umno Seputeh, Razlan Rafii.

Razlan yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mendakwa, semangat kebersamaan tersebut gagal dilaksanakan di peringkat Wilayah Persekutuan (WP) ekoran ketiadaan inisiatif daripada menteri bertanggungjawab.

Malah, dia mendakwa sepanjang hampir tiga tahun kebelakangan, tiada sebarang mesyuarat rasmi diadakan bagi menghimpunkan pimpinan akar umbi daripada pelbagai parti komponen kerajaan.

"Lebih mengecewakan, usaha Perdana Menteri melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang menetapkan semangat kerjasama rentas parti di peringkat akar umbi dilihat tidak diterjemahkan dengan sewajarnya.

"Semangat yang digariskan di peringkat nasional sepatutnya dipraktikkan hingga ke bawah, bukan sekadar menjadi slogan.

"Apabila rakyat melihat pimpinan pelbagai parti turun padang bersama, berganding bahu dan bergotong-royong demi masyarakat, mereka akan berasa lebih tenang, lebih selesa dan tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen politik yang memecahbelahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlan Rafii

Razlan dipercayai mengulas hantaran Facebook Menteri Wikayan Persekutuan Hannah Yeoh berhubung "duduk semeja" antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Susulan ketegangan dari Johor

Hantaran Hannah itu dipercayai merujuk ketegangan politik antaran BN dan PH susulan kenyataan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang tidak mahu DAP berada dalam kerajaan negeri jika BN terus diberi mandat memimpin Johor.

Hannah memberi contoh bagaimana hubungan baik yang terjalin antaranya dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani dalam semangat "mentadbir bersama" di peringkat Persekutuan.

"Di Kuala Lumpur, Umno mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa manakala Pakatan Harapan memiliki 10 kerusi Parlimen.

"Namun begitu, semangat mentadbir bersama di bawah Kerajaan Madani sentiasa menjadi keutamaan.

"Johari merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa dan rakan Kabinet saya. Walaupun beliau satu-satunya Ahli Parlimen Umno di Kuala Lumpur, kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain. Tiada pengasingan," tulis Hannah.

Onn Hafiz Ghazi

Katanya lagi, sepanjang mengurus hal ehwal Wilayah Persekutuan, dia banyak mendapatkan pandangan Johari dalam pelbagai perkara termasuk pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampung Bharu dan pelantikan ahli-ahli lembaga di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Razlan berkata tegurannya ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya demi memastikan kelangsungan dan kekukuhan struktur kerajaan sedia ada.

Katanya, nilai keikhlasan dalam sesebuah gabungan politik tidak seharusnya sekadar meniti di bibir, tetapi wajib dibuktikan melalui tindakan dan usaha yang konsisten.

"Jika benar mahu memperkukuhkan kerajaan perpaduan, maka semangat perpaduan itu perlu dirasai dan dilihat oleh rakyat sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS