Malaysia tidak memerlukan ‘Rashid Maidin 2.0’, kata seorang pemimpin DAP ketika membidas ahli akademik Tajuddin Rasdi kerana menyerang Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sebagai ‘rasis’.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong (atas) berkata sebagai seorang profesor dan ahli akademik, Tajuddin sepatutnya memahami perbezaan asas antara kaum dan parti politik.
“Persoalannya, sejak bila DAP menjadi wakil tunggal kepada masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina?
“Pemikiran seperti ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin menggelar Onn “keperibadian rasis” kerana tidak mahu duduk sekali dengan DAP selepas pilihan raya negeri Johor.
Profesor seni bina yang sering mengulas isu politik itu mengingatkan kepada Perjanjian Baling apabila presiden Umno ketika itu Tunku Abdul Rahman duduk bersemuka dengan Chin Peng sebagai pemimpin Parti Komunis Malaya.
“Mereka duduk di Perjanjian Baling untuk mewujudkan keamanan bagi rakyat negara kita,” katanya.
‘Tajuddin faham sejarah?’
Dalam kenyataan hari ini, Neow mempertikai sama ada Tajuddin benar-benar memahami sejarah apabila membandingkan pendirian Onn dengan Rundingan Damai Baling.
Katanya, rundingan itu bertujuan menamatkan ancaman keselamatan negara dan konflik bersenjata yang mengorbankan nyawa rakyat, bukan rundingan untuk membentuk kerajaan atau menjalin kerjasama politik dalam sebuah sistem demokrasi.
“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” katanya.
Dia juga mengingatkan bahawa “cukuplah kita mengambil iktibar daripada tokoh-tokoh yang memilih jalan konfrontasi dan ideologi yang memecah-belahkan rakyat”.
“Malaysia tidak memerlukan ‘Rashid Maidin 2.0’,” katanya berkias.
“Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman dan menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan harmoni.”
