mk-logo
Berita
Pengambilan pekerja Bangladesh: Dasar M'sia bagi nyawa sindiket lama hidup semula?

WAWANCARA | Model pengambilan pekerja asing antara Malaysia dan Bangladesh sekali lagi menjadi tumpuan apabila dasar Putrajaya didakwa berisiko membuka ruang kepada sindiket lama kembali menguasai pasaran buruh migran.

Kebimbangan itu tertumpu kepada 10 kriteria wajib yang ditetapkan Malaysia bagi agensi luar negara yang mahu membekalkan pekerja asing ke negara ini.

Jika tidak disemak semula, syarat berkenaan dikhuatiri mengulangi skandal monopoli masa lalu yang menyaksikan hanya segelintir agensi besar mengaut keuntungan jutaan ringgit manakala pekerja migran terus menanggung hutang dan penganiayaan.

Pakar migran dan penganalisis politik Universiti Dhaka, Dr Mohammad Rashed Alam Bhuiyan (gambar bawah) pada wawancara dalam talian bersama Malaysiakini menyifatkan syarat itu sebagai tidak masuk akal.

Dia berkata kegagalan Malaysia merombak sistem levi menjadi punca tersembunyi yang terus menghidupkan sindiket, walaupun kerajaan mengetatkan syarat terhadap agensi pengambilan pekerja.

Surat KLN, 10 syarat kontroversi

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) menetapkan 10 syarat wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.

Surat bertarikh 27 Oktober 2025 itu dihantar KLN kepada kedutaan negara-negara sumber, iaitu negara yang layak menghantar pekerja asing ke Malaysia.

Melalui surat berkenaan, kerajaan negara sumber diminta menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya pada 15 November 2025.

Antara syarat yang dianggap paling kontroversi ialah agensi perlu mempunyai pengalaman mengurus sekurang-kurangnya 3,000 pekerja dalam tempoh lima tahun.

Agensi juga perlu menempatkan pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara serta memiliki testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa.

Selain itu, Malaysia turut menetapkan agensi di Bangladesh perlu mempunyai pejabat tetap bersaiz lebih 10,000 kaki persegi yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun, selain memiliki pusat latihan sendiri. Malaysiakini telah melihat surat berkenaan.

Pada 4 Nov 2025, kerajaan Bangladesh menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi memohon kelonggaran sekurang-kurangnya terhadap tiga syarat, khususnya kewajipan mengendalikan 3,000 pekerja, memiliki pusat latihan dan mempunyai ruang pejabat 10,000 kaki persegi.

Namun, tiada perkembangan positif dicatatkan setakat ini.

Memetik laporan The Business Standard, Menteri Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, Nurul Haque Nur berkata tindakan Malaysia mengekalkan sekatan terhadap kemasukan pekerja Bangladesh berpunca daripada isu penolakan 10 syarat berkenaan oleh Dhaka.

Dia berkata syarat itu mengecilkan persaingan apabila hanya lima hingga tujuh agensi berpotensi beroperasi, berbanding lebih 2,000 agensi sebelum ini.

Walaupun pentadbiran kerajaan sementara Bangladesh berjaya mengurangkan tiga daripada syarat tersebut dan mencalonkan 423 agensi pembekal kepada Malaysia, pembukaan semula pasaran buruh itu masih buntu.

‘Direka untuk agensi gergasi’

Dalam pada itu, Rashed menyoal rasional di sebalik syarat yang ditetapkan Putrajaya itu.

"Syarat yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia ini sebenarnya tidak masuk akal serta tidak akan memainkan sebarang peranan signifikan dalam mempromosikan etika pengambilan pekerja yang bersih.

"Syarat tersebut sengaja direka untuk memberi kelebihan eksklusif kepada pemain industri berskala besar sahaja.

"Kriteria ini sebenarnya hanya akan membantu agensi-agensi gergasi, iaitu mereka yang mempunyai saiz pejabat yang besar atau yang pernah menerima lambakan surat permintaan pekerja yang tinggi pada masa lalu," katanya.

Rashed, yang menamatkan pengajian doktor falsafah (PHD) dalam bidang penyelidikan buruh Bangladesh ke Malaysia, mendakwa pihak yang bakal mendapat keuntungan daripada 10 syarat baru itu bukan pemain baru dalam industri berkenaan.

"Kami sudah mendengar bahawa syarat ini akhirnya akan membantu agensi-agensi besar yang merupakan sebahagian daripada sindiket terdahulu, yang telah mengaut keuntungan jutaan ringgit dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Oleh yang demikian, perubahan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) adalah satu kemestian, atau sekurang-kurangnya syarat-syarat yang tidak rasional dari pihak Malaysia ini perlu ditarik balik segera.

"Putrajaya sepatutnya menyerahkan urusan saringan agensi kepada negara sumber yang lebih memahami landskap domestik mereka.

"Saya fikir perkara paling penting ketika ini adalah senarai yang dihantar oleh pemerintah Bangladesh, yang mana mereka lebih tahu tentang kredibiliti agensi-agensi pengambilan pekerja di Bangladesh sendiri. Jadi, kerajaan Malaysia sepatutnya menghormati sahaja senarai agensi yang telah dihantar oleh pihak pemerintah Bangladesh," katanya.

Skandal sindiket RM2.68 bilion

Kritikan Rashed hadir ketika kerajaan Bangladesh masih menjalankan siasatan besar-besaran terhadap sindiket yang mengeksploitasi warganya yang bekerja di Malaysia.

Siasatan itu mendedahkan kewujudan rangkaian pemerdagangan manusia dan rasuah melibatkan lebih 200 individu serta 100 agensi pekerja asing.

Nilai penyelewengan dianggarkan mencecah RM2.68 bilion.

Tindakan tegas turut diambil, termasuk penahanan bekas menteri Bangladesh, Imran Ahmed (gambar bawah) atas kaitannya dengan sindiket berkenaan.

Perkembangan dramatik kemudian berlaku di mahkamah Bangladesh apabila seorang ejen tempatan, SM Rafiq, membuat pengakuan bersumpah mengenai kewujudan sindiket tersebut.

Dia mengaku memeras wang daripada pekerja dan mengaitkan sindiket itu dengan ahli politik berpengaruh serta pegawai kerajaan di kedua-dua negara.

Rafiq turut mendakwa ejennya mengutip lebih RM14 juta daripada 2,822 pekerja sebagai bayaran haram untuk dihantar ke Malaysia.

Isu itu didakwa berpunca daripada proses pengambilan pekerja antara 2022 hingga 2024, apabila lebih 476,000 pekerja Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia.

Ramai daripada mereka didakwa terperangkap dalam hutang akibat yuran sehingga RM25,000, ada yang tidak diberikan pekerjaan manakala sebahagian lagi diancam bunuh sekiranya enggan membayar wang pemerasan.

Malaysia minta siasatan dihentikan?

Di tengah-tengah usaha Bangladesh menyiasat skandal itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menghantar surat rasmi bertarikh 23 April 2025 kepada pihak berkuasa Bangladesh.

Surat berkenaan secara khusus meminta siasatan terhadap dakwaan sindiket dihentikan, dengan alasan ia menjejaskan reputasi Malaysia.

Malaysia mendakwa sebahagian besar dakwaan berkaitan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram tidak berasas.

Sementara itu, Rashed turut berpendapat rancangan pengenalan sistem AI terbaru bagi menguatkuasakan prinsip ‘majikan membayar’ anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) tidak akan membuahkan hasil.

Pada Februari tahun ini, Menteri Sumber Manusia R Ramanan (gambar bawah) dipetik laporan The Malaysian Reserve memetik sebagai berkata sistem pengambilan pekerja migran berasaskan kecerdasan buatan (AI) akan membolehkan majikan berkomunikasi terus dengan bakal pekerja tanpa bergantung kepada orang tengah.

Sistem itu juga dikatakan mampu membantu memadankan majikan dengan pekerja sesuai berdasarkan keperluan kerja serta memudahkan temu duga secara maya.

Namun, ketika ditanya jika teknologi mampu menghapuskan sindiket orang tengah yang sudah berakar di Kuala Lumpur dan Dhaka, Rashed memberi jawapan ringkas: "Jawapan mudahnya adalah tidak."

"Kepintaran buatan atau pendigitalan tidak memberi makna sekiranya agensi atau syarikat swasta masih diletakkan sebagai pengawal pintu masuk utama.

"Sistem tersebut hanya akan berfungsi jika majikan dan bakal pekerja boleh menggunakan fasiliti teknikal itu secara terus tanpa perlu melalui bantuan mana-mana agensi pengambilan pekerja atau syarikat swasta.

"Akhirnya, ia tetap tidak akan membantu bakal pekerja buruh kerana mereka masih perlu mendaftar melalui syarikat swasta dan kita semua tahu agensi-agensi ini memang terkenal dengan tabiat mengenakan caj yuran yang sangat tinggi," katanya.

Sebelum ini, NGO pemantau globalisasi Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN) turut menyoal bagaimana AI mampu menyelesaikan masalah tadbir urus yang membelenggu Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sedia ada.

MSN berkata sekadar melabel sesuatu sebagai berasaskan AI tidak akan membaiki kegagalan tadbir urus, sambil menyoal apakah perlindungan yang disediakan bagi mengelakkan sistem baru itu mengulangi kesilapan lalu.

Levi: ‘Lompong besar’ yang dilupakan

Di sinilah, menurut Rashed, terletak persoalan paling penting tetapi sering terlepas pandang dalam perdebatan mengenai 10 syarat tersebut.

Dia berkata jika Malaysia hanya memberi tumpuan kepada saringan agensi di negara sumber tanpa merombak sistem kewangan dalam negeri, sindiket tetap akan mencari laluan lain untuk beroperasi.

Laluan gelap itu, katanya, ialah sistem kutipan levi Malaysia.

"Faktor paling penting ialah kerajaan Malaysia mesti mengurangkan yuran levi bagi pengambilan pekerja asing. Penguatkuasaan yang lemah telah mewujudkan pasaran gelap bagi dokumen kelulusan kuota pekerja.

"Yuran levi ini sepatutnya dibayar oleh majikan, tetapi untuk mengelak daripada membayar jumlah tersebut, majikan bertindak menjual arahan pekerjaan (demand letter) mereka kepada pihak ketiga atau pedagang visa. Jika amalan ini dibiarkan berterusan tanpa tindakan tegas, kos kemasukan buruh tidak akan dapat diturunkan.

"Pihak ketiga ini lebih rela membayar levi berkenaan sebagai pertukaran untuk membeli dokumen permintaan tersebut daripada majikan.

"Jadi, mengurangkan atau menghapuskan levi adalah wajib. Jika tidak, majikan akan terus menyerahkan dokumen itu kepada ejen visa yang akhirnya menyebabkan kos migrasi menjadi mahal," katanya.

Bagi menyokong hujah itu, Rashed mengimbas kembali kegagalan sistem pengurusan pekerja asing di Malaysia.

"Yuran sentiasa mengalir melalui sistem ini bagi setiap pekerja asing yang diuruskan mencecah angka jutaan ringgit di mana kos tersebut akhirnya terpaksa ditanggung oleh majikan, pekerja, dan negara penghantar yang mana mereka ini adalah golongan paling rapuh.

"Satu laporan mendedahkan pada Mei 2024, agensi PBB (ILO, IOM, UNODC) secara bersama melahirkan kebimbangan mengenai pekerja Bangladesh yang tiba di Malaysia dengan izin kerja sah, tetapi mendapati pekerjaan yang dijanjikan sebenarnya tidak wujud," katanya.

Syarat dan levi, dua masalah sama

Rashed berkata, tanpa reformasi levi, 10 syarat itu hanya akan menutup satu pintu tetapi membiarkan banyak pintu lain terbuka luas, termasuk pasaran gelap surat permintaan yang kini bernilai berbilion ringgit.

"Kita bercakap tentang agensi mana yang layak, tetapi lupa bertanya: mengapa kos migrasi mencecah RM25,000 seorang?

"Selagi levi boleh 'dibeli' dan dijual semula oleh pihak ketiga, selagi itulah pekerja akan terus dihimpit hutang, tidak kira berapa ketatpun syarat untuk agensi di Dhaka," katanya.

Bagi Rashed, syarat agensi dan sistem levi ialah dua masalah yang sama.

Kedua-duanya, katanya, mencerminkan keengganan Malaysia menangani punca utama eksploitasi, iaitu ketidakseimbangan kuasa dalam pasaran buruh antarabangsa.

"Malaysia boleh mengenakan 10, 20, atau 100 syarat kepada Bangladesh. Tetapi selagi kos migrasi tidak telus, selagi levi menjadi sumber pendapatan tidak bertanggungjawab dan selagi majikan bebas menjual demand letter kepada spekulator visa, sindiket akan terus wujud.

"Kriteria baru ini hanya memindahkan monopoli dari satu kumpulan agensi ke kumpulan agensi yang lain – kedua-duanya adalah wajah yang sama di cermin yang berbeza," katanya.

Dakwaan monopoli dalam sistem pengambilan pekerja asing bukan isu baru.

Sistem sindiket itu didakwa mula bertapak sejak 2010, apabila kuasa pasaran hanya dihadkan kepada 10 agensi terpilih sebelum berkembang menjadi jentera monopoli yang mengawal aliran migrasi buruh.

Pada 2020, pasaran itu dibuka kepada 100 agensi sahaja dan didakwa melibatkan dana berjuta-juta ringgit.

Pasaran pekerja asing Malaysia untuk Bangladesh pertama kali ditutup pada 2008, dibuka semula pada 2016, sebelum ditutup sekali lagi pada 2018 susulan dakwaan rasuah.

Ia dibuka semula pada 2022 sebelum kembali ditutup pada 2024.

Persaingan serantau, tekanan domestik

Mengulas perbandingan dengan Nepal, yang berjaya mempertahankan pasaran terbuka dan menolak syarat ketat agensi Malaysia tanpa eksploitasi sindiket, Rashed mengakui kedudukan diplomasi Bangladesh jauh lebih lemah.

"Puncanya adalah keterdesakan yang melampau di dalam Bangladesh sendiri," akui Rashed secara berterus-terang.

Katanya, lambakan tenaga kerja domestik yang tidak seimbang dengan peluang pekerjaan mewujudkan persaingan tidak sihat sesama rakyat Bangladesh sendiri demi kelangsungan hidup.

"Terdapat jumlah pencari kerja yang sangat besar yang sanggup berhijrah ke luar negara dengan apa jua kos sekalipun, dan disebabkan oleh permintaan yang tidak normal ini, semua pihak mengambil kesempatan mengeksploitasi mereka.

"Faktor tersebut ditambah pula dengan tekanan politik domestik di Dhaka yang sering menjadikan isu eksport manusia sebagai modal politik utama.

"Kedua, manifesto pilihan raya kerajaan Bangladesh yang silih berganti sentiasa memberi penekanan bahawa mereka akan mencipta peluang pekerjaan untuk 10 juta orang dan sebagainya, sekali gus meletakkan tekanan kepada pentadbiran," katanya.

Rashed berkata Bangladesh sering terpaksa mengalah di meja rundingan kerana bimbang kehilangan pasaran kepada negara pesaing lain.

"Wujud persaingan tidak sihat daripada negara penghantar buruh yang lain. Dhaka sentiasa berada dalam bayang-bayang ketakutan sekiranya Putrajaya memutuskan untuk memutuskan rantaian bekalan buruh secara mengejut.

"Sekiranya Bangladesh menunjukkan sikap terlalu rigid atau keras, negara lain akan mengambil peluang tersebut atau kerajaan Malaysia mungkin akan memilih untuk beralih kepada negara sumber alternatif yang lain," katanya.

Bagi Rashed, buruh dari negara miskin akan terus menjadi mangsa buli sekiranya ketidakseimbangan kuasa global itu tidak diperbetulkan.

"Jadi, sedikit sebanyak ketidaksamaan struktural yang wujud dalam pasaran buruh antarabangsa inilah yang sebenarnya sedang menetapkan terma-terma perjanjian tersebut," tegasnya.

Rashed turut mendesak MOU buruh antara Bangladesh dan Malaysia dirombak bagi menghentikan pengasingan agensi secara terpilih.

"Kerajaan Malaysia perlu berani merombak sistem levi dari akar umbi.

“Jika tidak, jangan terkejut apabila 10 syarat 'wajib' ini hanya menghasilkan lebih banyak rasuah, lebih banyak dokumen palsu, dan lebih banyak pekerja terperangkap dalam hutang – hanya kali ini dengan wajah agensi yang lebih besar dan pejabat yang lebih mewah."

"Perubahan dalam MOU adalah satu kemestian, atau sekurang-kurangnya syarat-syarat yang tidak rasional dari pihak Malaysia ini perlu ditarik balik segera," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Kesuma sejak 6 Jun untuk mendapatkan komen.

Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima sehingga artikel ini diterbitkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS