Hanya tiga minggu selepas diterajui dua bekas menteri kabinet, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Bersama Malaysia (Bersama) pantas mencuri tumpuan apabila mendakwa berjaya mengumpul 24,000 ahli awal.
Bagaimanapun, ujian sebenar parti baru ini bukan pada angka, melainkan keupayaannya menembusi tembok-tembok politik tradisi.
Tinjauan lapangan di siri 'Jelajah Kancil' di Johor dan Melaka baru-baru ini mendedahkan beberapa dinamika menarik daripada sokongan senyap penjawat awam di Putrajaya, hinggalah kepada perbezaan ketara demografi penyokong antara dua negeri selatan tanah air itu.
Siri jelajah di lapangan juga mendedahkan Bersama sedang menarik dua segmen masyarakat yang sangat berbeza, sekali gus menuntut strategi penjenamaan yang berhati-hati.
Di Johor Bahru, jelajah di Pusat Konvensyen Danga Bay menyaksikan kehadiran luar jangkaan lebih 500 orang awam, dengan 70 peratus daripadanya merupakan golongan muda bawah usia 40 tahun.
Lebih menarik, kehadiran komuniti Cina kelas pertengahan dianggarkan melebihi 100 orang.

Memandangkan Rafizi sebelum ini lebih sinonim dengan sokongan kuat masyarakat India sewaktu berada dalam PKR, kehadiran kelompok Cina dan atas pagar di Johor ini mencadangkan wujudnya rasa ingin tahu (curiosity factor) terhadap tawaran politik baru di kawasan bandar.
Sebaliknya, senario di Melaka memperlihatkan landskap berbeza. Perhimpunan di dewan Hotel Seri Malaysia yang dihadiri sekitar 300 orang didominasi oleh kelompok veteran, dengan 60 peratus hadirin berusia atas 40 tahun.
Majoriti yang hadir dikenal pasti sebagai bekas anggota dan aktivis PKR. Ini menunjukkan di Melaka, tarikan Bersama lebih bersifat nostalgia perjuangan dan penyusunan semula struktur lama, berbanding penembusan pasaran pengundi baru seperti yang berlaku di Johor.
Selain itu perkara yang lain mencuri tumpuan adalah pendaftaran lebih 400 ahli di Parlimen Putrajaya, termasuk penyertaan pegawai tinggi kerajaan gred 54.

Putrajaya merupakan kawasan yang dihuni oleh lebih 90 peratus kakitangan awam, kelompok yang secara tradisinya amat berhati-hati dalam menyatakan kecenderungan politik demi menjaga keharmonian status quo.
Meskipun angka 400 kelihatan kecil, penyertaan dalam tempoh tiga minggu penubuhan parti memberi bayangan awal bahawa naratif reformasi dasar yang dibawa Bersama mula mendapat tempat dalam kalangan pelaksana dasar negara.
Ujian getir Bersama selepas ini adalah membuktikan sama ada angka tersebut merupakan isyarat protes senyap yang lebih besar dalam birokrasi, atau sekadar penyertaan kelompok kecil yang terpencil.
Realiti politik, faktor 'wow' lwn peti undi
Bagi mengekalkan perspektif objektif, kehadiran dewan yang penuh di kedua-dua negeri ini tidak boleh dibaca sebagai jaminan sokongan mutlak.
Sebagai parti yang dipimpin oleh figura yang baru melepaskan jawatan kabinet, elemen publisiti dan sifat ingin tahu masyarakat umum terhadap apa alternatif yang mahu dibawa masih berada di tahap tertinggi.
Berbeza dengan parti-parti politik yang lain, jelajah Bersama lebih bersifat townhall atau soal jawab terbuka yang menarik perhatian orang ramai yang bertanya pelbagai soalan mengenai isu nasional dan kawasan masing-masing.
Antara soalan-soalan yang paling menonjol dalam kedua-dua jelajah ini adalah, isu kaum, kos sara hidup, bagaimana Bersama berbeza dengan yang lain dan pengalaman Rafizi dan Nik Nazmi semasa berada di kabinet.


Namun, cabaran sebenar Bersama adalah menukarkan kehadiran orang awam ini kepada struktur jentera akar umbi yang kukuh dalam masa yang singkat.
Sokongan dalam dewan ceramah sering kali tidak diterjemahkan secara linear di peti undi, terutamanya apabila bertembung dengan jentera tradisi PH,BN dan PH yang jauh lebih organik di peringkat tempatan.
Siri awal Jelajah Kancil menunjukkan Bersama berjaya melepasi fasa pertama, iaitu menarik perhatian khalayak.
Keupayaan menarik perhatian birokrat Putrajaya, anak muda multi-etnik di Johor, serta mengumpulkan semula veteran politik di Melaka memberi permulaan yang dinamik.
Namun, sama ada momentum ini mampu bertahan selepas fasa 'bulan madu' politik ini berakhir, ia bergantung kepada keupayaan mereka menawarkan formula ekonomi dan penyelesaian kos sara hidup yang lebih realistik berbanding parti sedia ada.
B NANTHA KUMAR adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini.
Tulisan ini bagaimanapun tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.
