Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN) sesuka hati berikutan sistem perlembagaan gabungan itu yang memberikan "kuasa kebal" atau sekatan mutlak kepada setiap parti komponen, kata bekas setiausaha sulit kanan kepada pengerusi PN, Marzuki Mohamad.
Dedahnya, bahawa sebarang tindakan disiplin yang drastik, termasuk pemecatan mana-mana parti anggota, tertakluk sepenuhnya di bawah Fasal 7A Perlembagaan PN.

“Parti anggota PN hanya boleh dipecat melalui tindakan disiplin. Menurut Fasal 7A Perlembagaan PN, hanya Majlis Presiden yang dianggotai oleh presiden-presiden parti anggota mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara disiplin parti anggota.
“Keputusan Majlis Presiden pula hendaklah dibuat secara sebulat suara. Jika seorang presiden tidak setuju, tiada tindakan boleh diambil," tegas Marzuki dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di media sosialnya, hari ini.
Melalui ketetapan syarat "sebulat suara" ini, katanya, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin secara teknikalnya memegang kuasa veto tersendiri.
Ini bermakna, sekiranya wujud cubaan atau desakan daripada mana-mana pihak dalaman gabungan untuk menyingkirkan Bersatu, langkah itu mustahil dilaksanakan selagi presiden Bersatu sendiri tidak memberikan persetujuan.
Lantaran itu, Marzuki menegaskan status keanggotaan Bersatu dalam struktur PN adalah selamat dan dilindungi oleh perlembagaan parti, sekaligus menepis spekulasi liar bahawa parti itu boleh ditolak keluar dengan mudah demi kepentingan politik pihak lain.
Pada 13 Jun lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menegaskan hubungan parti itu dengan Bersatu sudah berakhir. Abdul Hadi turut menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin itu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.

Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa PAS bersetuju menerima kemasukan Parti Wawasan Negara yang diterajui oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin ke dalam PN.
Dia juga mengumumkan bahawa parti itu bersetuju meneruskan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen selepas mengambil kira pandangan ahli Parlimen PAS dan Reset.
Abdul Hadi turut berkata PN akan mengekalkan kepimpinan sedia ada dalam gabungan berkenaan.
“Yang kedua kita kekalkan (Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai) pengerusi PN,” katanya.
Pengerusi PN tiada kuasa mutlak isu watikah calon
Selain isu pemecatan keanggotaan, Marzuki turut memperincikan polemik mengenai penentuan kerusi pilihan raya serta pengeluaran watikah calon.
Dia mengesahkan bahawa jawatan pengerusi PN yang diambil alih oleh Ahmad Samsuri selepas Muhyiddin melepaskan jawatan itu tahun lalu tidak mempunyai kuasa individu untuk membuat keputusan secara bersendirian dalam hal berkenaan.

“Hanya Majlis Presiden yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
“Keputusan Majlis Presiden dalam hal ini juga hendaklah dibuat secara sebulat suara,” katanya.
Menurut Marzuki, tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada pengerusi PN untuk membuat ketetapan kerusi pilihan raya dan memberikan watikah calon.
“Pengerusi PN tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon sesuka hati,” katanya lagi sambil melampirkan Fasal 7A mengenai kuasa dan tugas Majlis Presiden.
