Paling Popular
Terkini
1

Perikatan Nasional (PN) membuat rombakan dalam kepimpinan pusatnya apabila menggugurkan Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Mohd Radzi Md Jidin dan Timbalan Setiausaha Agung, Azmin Ali berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan malam tadi mengumumkan Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai ketua pengarah pilihan raya PN yang baru bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan akan datang.

Sementara itu, jawatan bendahari PN yang dikosongkan oleh Menteri Besar Kedah itu disandang oleh pemimpin MIPP, S Subramaniam.

Samsuri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sebab Azmin digugurkan selain mengatakan ia bagi memenuhi kehendak perlembagaan PN.

"Satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi Perikatan Nasional," katanya dalam kenyataan itu.

Pengumuman itu dibuat ketika PN sedang berdepan perubahan besar dalam struktur politik pembangkang apabila PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Selain Ahmad Samsuri dan Sanusi, turut hadir dalam mesyuarat malam tadi ialah Pengasas Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut, Ronald Kiandee (Beluran), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin).

Pada 13 Jun lalu, PAS mengumumkan bersetuju mengekalkan Hamzah sebagai ketua pembangkang pada satu konvensyen yang menyaksikan pelancaran parti barunya.

Ini meskipun PN mengumumkan Hamzah bukan lagi ketua pembangkang pada April lalu dan menggantikannya dengan Samsuri pada bulan berikutnya.

Hamzah melepaskan jawatan itu selepas dia dipecat keahlian daripada Bersatu susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS