Seorang warga emas didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap cucu perempuannya berusia 12 tahun di Bachok, Kelantan pada tarikh antara Jan hingga bulan ini.
Tertuduh 79 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu itu berdepan lima pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, lapor BH.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga, keempat dan kelima, tertuduh didakwa merogol mangsa tanpa kerelaan.
Perbuatan itu didakwa berlaku dalam bilik tidur di rumah di Kampung Panchor Gunong Timor antara jam 8.28 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 11 Januari sehingga 4 Jun 2026.
Tertuduh didakwa bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (rogol bawah umur) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan hubungan seks dengan memasukkan sebiji terung ke dalam kemaluan mangsa tanpa kerelaannya di lokasi yang sama jam 1.30 tengah hari pada 11 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan (hubungan seks dengan objek) yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana mengambil kira keselamatan mangsa sebagai kanak-kanak bawah umur.
Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
