Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Digital menegaskan bahawa penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang dirangka bukan bertujuan menggantikan undang-undang sedia ada.

Sebaliknya,kata Menterinya Gobind Singh, ia bagi mengisi lompang keselamatan bermula dari peringkat fasa awal pembangunan sistem berkenaan.

Katanya, walaupun isu seperti deepfake dan penyamaran identiti sudah boleh ditangani bawah undang-undang sedia ada, kedua-dua kerangka tersebut mempunyai peranan saling melengkapi.

"Undang-undang sedia ada memainkan peranan penting dalam menangani perbuatan yang telah menyalahi undang-undang, termasuk kesalahan jenayah, penyebaran kandungan memudaratkan, penyalahgunaan platform dalam talian, pelanggaran hak individu dan perlindungan kanak-kanak.

"Bagaimanapun, perkembangan AI memerlukan satu lapisan tadbir urus tambahan yang memberi tumpuan kepada sistem AI itu sendiri. Ini kerana risiko penyalahgunaan AI tidak semestinya bermula pada peringkat kandungan akhir sahaja.

"Risiko tersebut boleh wujud lebih awal melalui reka bentuk sistem, pemilihan dan penggunaan data, kaedah latihan model, tahap kawalan keselamatan, kawalan akses, pengawasan manusia, serta cara sistem AI disediakan atau digunakan dalam sesuatu konteks operasi," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) bertanya apakah keperluan RUU Tadbir Urus AI yang sedang digubal dalam menangani risiko-risiko sekiranya penyalahgunaan AI seperti deepfake, penyamaran identiti dan kandungan sintetik yang menyalahi undang-undang masih boleh ditangani bawah undang-undang sedia ada.

Kerajaan kini sedang merangka satu RUU dengan tumpuan akan diberikan kepada aspek pencegahan dan akauntabiliti sepanjang kitar hayat sistem berkenaan.

Mana-mana pihak yang membangunkan, menyediakan, menggunakan, atau mengendalikan teknologi AI akan diwajibkan untuk mengambil langkah-langkah tadbir urus yang munasabah, bersesuaian dengan tahap risiko sistem yang dikendalikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS