Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi dedah mesej Puad Zarkashi ugut Umno demi anak
Diterbitkan:  Jun 25, 2026 11:21 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan kekesalan terhadap tindakan Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar daripada parti serta-merta berikutan tuntutan peribadi untuk mencalonkan anaknya dalam pilihan raya tidak dipenuhi oleh kepimpinan tertinggi parti.

Menurut Asyraf Wajdi, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, sebelum ini telah mengemukakan ugutan itu dan berkata, akan menyerang Umno sekiranya anaknya tidak dipilih menggantikan dirinya di Rengit. 

Asyraf Wajdi Dusuki

“Beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi Umno tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.

“Anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya,” kata Asyraf Wajdi dalam hantaran di media sosial hari ini.

Dia turut menyangkal dakwaan Mohd Puad yang memberikan alasan kononnya tindakan keluar parti itu disebabkan pihak Istana mengawal Umno Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.

Berbaur fitnah

Menurut setiausaha agung Umno, kenyataan tersebut disifatkan sebagai berbaur fitnah demi menutup alasan sebenar berkaitan isu pencalonan anaknya.

"Umno bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.

“Perjuangan Umno jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu," katanya.

Onn Hafiz Ghazi

Semalam, menteri besar sementara Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Mohd Zaidi Japar akan bertanding di Rengit.

Malaysiakini sedang mengubungi Mohd Puad untuk mendapatkan ulasannya berhubung dakwaan Asyraf Wajdi itu.

Bukan kali pertama

Sementara itu, mengulas mengenai rekod Mohd Puad, setiausaha agung Umno itu berkata, bahawa ini bukan kali pertama bekas ahli parti itu membuat ugutan sedemikian.

Katanya, ketika era pentadbiran Najib Razak sebagai presiden Umno, Mohd Puad juga pernah mengugut untuk keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai ahli Parlimen Batu Pahat.

Ahli MKT itu hari ini  mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta merta, dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan kerana ‘dikawal’ istana.

Katanya, Umno kini tidak perlu bersusah payah memecatnya dan hal itu memudahkannya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti itu dari belakang.

Mohd Puad Zarkashi

Semalam, penyandang kerusi Rengit itu berkata, dia merasakan ada yang “tidak kena” dengan Umno Johor selepas melihat senarai calon BN yang akan bertanding.

Sebelum ini, Mohd Puad telah menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan. Bagaimanapun, dia kemudiannya mendakwa saranan itu tidak diendahkan oleh kepimpinan parti.

Mohd Puad kali pertama dipilih menjadi calon Umno pada pilihan raya 2008 bagi kerusi Parlimen Batu Pahat yang dimenanginya. Bagaimanapun dia hanya berkhidmat selama satu penggal di Dewan Rakyat selepas tewas dalam pilihan raya 2013 kepada Mohd Idris Jusi daripada PKR.

Namun dia dipilih semula menganggotai MKT  Umno pada akhir tahun tersebut. Dia kemudiannya digugurkan daripada menjadi calon oleh Umno dalam pilihan raya umum 2018.

Susulan itu, dia yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jasa pada Mac 2015 meletak jawatan pada 25 April 2018 sebagai tanda protes.

Pada 2022, Puad diletakkan sebagai calon BN pada PRN Johor dan berjaya memenangi kerusi itu. Seterusnya, dia dilantik sebagai speaker DUN Johor.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata perjuangan Umno jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.

“Parti ini telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama. 

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. 

“Bak kata pepatah Melayu, air susu dibalas air tuba, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan,” katanya lagi.. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS