Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR tak gentar dicabar Bersama: Pilihan mereka keluar parti - Zaliha

Pengarah pilihan raya PKR Johor Dr Zaliha Mustafa hari ini berkata parti itu kekal yakin dapat mempertahankan pangkalan sokongannya walaupun berdepan cabaran bekas anggota yang kini bertanding atas tiket Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Bercakap dalam sidang media di pusat operasi parti itu di Johor Bahru, Zaliha merujuk sokongan yang ditunjukkan kepada 20 calon PKR semasa proses penamaan calon awal hari ini.

“Saya sebut begini, itu pilihan mereka untuk keluar PKR dan bertanding bawah Bersama.,” katanya ketika diminta mengulas barisan calon yang diketengahkan oleh pengasas bersama Bersama, bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Presiden Bersama Syukri Razab sebelum ini mengumumkan tiga daripada 15 calon Bersama - Norsinah Abu (Larkin), Stanley Tan (Stulang) dan Dr Zamil Najwah Arbain (Permas) - merupakan bekas anggota PKR.

Norsinah dan Tan sebelum ini bekerja dengan Ahli Parlimen Johor Bahru dari PKR, Akmal Nasrullah Nasir, sebelum menyertai Bersama, manakala Zamil pernah bertanding sebagai calon PKR di Larkin pada pilihan raya negeri Mac 2022.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini difahamkan calon Bersama bagi Puteri Wangsa, Nicholas Paul Vincent, juga merupakan bekas anggota PKR selama 13 tahun sebelum keluar parti bulan lalu.

Berdasarkan barisan calon itu, Nicholas mencabar calon PKR Maszlee Malik dan tiga lagi calon lain di Puteri Wangsa, manakala tiga calon lain terlibat dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang komponen Harapan, Amanah, DAP dan calon lain.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata: “Tetapi setakat yang kita lihat sepanjang hari ini dalam proses pencalonan di hampir semua 20 kawasan, sokongan yang kita lihat dari anggota parti dan masyarakat sangat baik."

"Saya kira perkiraan kita untuk meletakkan pimpinan-pimpinan utama di setiap kawasan bertanding, dan juga negeri-negeri angkat di setiap kawasan bertanding, itu sangat membantu.

"Itulah kesatuan yang kita lihat masih teguh bersama PKR,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS