PRN JOHOR | Calon Permas, Sharon Teo, baru-baru ini menjadi tumpuan kerana menjadi calon bukan Islam yang dicalonkan oleh Amanah.
Kepimpinan utama parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sendiri nampaknya meraikan calon bukan Melayu mereka, seperti yang dikongsikan semasa ceramah pada malam Sabtu di sebelah sebuah restoran Cina di Masai.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalan presiden, Mujahid Yusof Rawa ketika ceramah itu, berkata mereka menganggap keputusan untuk mencalonkan Teo sebagai langkah berani.
Walaupun Amanah terbuka kepada calon bukan Islam dan bukan Melayu, ini baru kali kedua parti itu mengemukakan calon Cina.
Permas merupakan kerusi campuran dengan hanya sekitar 53 peratus pengundi Melayu, manakala lebih 27 peratus pengundi Permas adalah Cina, dengan lebih separuh daripada mereka berumur lebih 40 tahun.
Walaupun BN memenangi kerusi itu dalam PRN yang lalu di tengah-tengah kadar keluar mengundi yang rendah, analisis data daripada electiondata.my menunjukkan bahawa jika PRN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022 - PH akan memenangi kerusi itu dengan kelebihan 11.3 mata peratusan berbanding Perikatan Nasional (PN).
Kehadiran keluar mengundi kali ini dijangka lebih rendah daripada PRU15, walaupun tidak serendah PRN yang lalu - ketika wabak Covid-19 merupakan penghalang utama - yang bermaksud penguasaan BN di kerusi itu tidak terjamin.
Kaum calon bukan isu
Dengan persaingan pelbagai penjuru di Permas dan kadar keluar mengundi yang dijangkan lebih rendah diambil kira, meraih undi bukan Melayu akan menjadi faktor penting jika PH mahu peluang untuk menang kali ini.
Walau bagaimanapun, pengundi Permas yang ditemui Malaysiakini di sebuah restoran menyatakan bahawa kaum bukanlah pertimbangan utama.
“Bukan perkauman! Kami rakyat Malaysia; kami bersama. (Meletakkan calon Cina) adalah baik, berbilang kaum, tetapi kami tidak perkauman. Kami akan sentiasa menyokong PH,” kata seorang lelaki Cina berusia awal 50-an yang hanya ingin dikenali sebagai Ruby kepada Malaysiakini.
Selang beberapa meja berhampiran, tiga sekeluarga meluahkan sentimen yang sama bahawa pengundi Cina di Permas setia kepada PH.
Begitu juga bagi Teo, kunci kemenangan bukanlah kaum, tetapi perkhidmatan.
“Mengapa orang ramai perlu mengundi saya? Saya sudah tahu isu-isu di sini. Paling penting ialah infrastruktur, keadaan jalan raya yang buruk dan kesesakan,” katanya kepada pemberita pada malam Sabtu, sambil diperhatikan dengan teliti oleh Mujahid.
“Orang ramai mengadu kepada saya tentang lubang jalan. Pembaikan adalah sementara, dan selepas hujan lebat, masalah itu muncul semula,” katanya.
Pengalaman sebagai bekas pembantu menteri
Ketua Wanita Muda Amanah Johor itu juga mempertaruhkan pengalamannya sebagai bekas pembantu kepada timbalan presiden Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pulai sehingga meninggal dunia pada 2023.

Walaupun pencalonannya nampaknya bukan isu bagi penyokong PH, sentimen tidak sama dalam Amanah.
Keputusan parti untuk meletakkan Teo telah mengecewakan bahagian Amanah Pasir Gudang, yang mahu ketua bahagian mereka bertanding di Permas. Mereka telah mengugut untuk memboikot Teo di tempat pilihan raya.
Walau bagaimanapun, Mujahid menepis kebimbangan tentang kekuatan jentera tempatan Amanah, dengan memetik sokongan daripada ahli dari negeri lain.
“Tiada isu tentang Amanah yang tidak mempunyai jentera. Saya di sini; kami mempunyai ahli dari pelbagai bahagian untuk membantu,” katanya kepada Malaysiakini pada Sabtu lalu.
Walau bagaimanapun, sebab pemilihan Teo juga tidak dinyatakan secara jelas.
Apabila ditanya mengapa dia bersetuju menerima pencalonan Amanah, Teo memberitahu Malaysiakini: “Saya lebih suka tidak menjawabnya sekarang.”
Percubaan awal untuk menanyakan soalan yang sama kepadanya, di hadapan Mujahid, juga gagal, dengan bekas menteri itu membawanya beredar untuk bertemu dengan lebih ramai pengundi.
Teo sendiri tidak berkongsi banyak butiran. Dalam video ketika memperkenalkan dirinya, anak jati Kota Tinggi itu berkata bdia sudah biasa berada di sebalik tabir dan salah satu kelemahannya ialah tidak berkongsi kerja-kerjanya di media sosial.
Video itu tertumpu terutamanya pada masanya bekerja dengan Allahyarham Salahuddin. Dia tidak menyatakan alasan menyertai Amanah pada 2018, selain menyatakan bahawa parti itu berbilang kaum.
Sementara itu, cabaran dalaman bukanlah satu-satunya masalah yang perlu dihadapi oleh calon PH itu.
Saingan di Permas
Permas merupakan salah satu daripada 15 kerusi yang akan menyaksikan kumpulan serpihan PKR, Bersama, cuba mencipta nama.
Parti logo Kancil itu meletakkan bekas calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain. Dia sebelum ini bertanding tetapi gagal ketika cuba menawan kerusi Larkin pada 2022.
Jika Bersama berjaya menembusi Permas, ia boleh mengancam peluang PHarapan untuk menawan kerusi tersebut.
Teo dan Zamil juga akan berdepan dengan penyandang BN, Baharudin Taib dan T Vela dari PN.
