Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada manifesto, Bersama umum 'aku janji khidmat' jadi pembangkang berkualiti

Parti Bersama Malaysia (Bersama) hari ini mengumumkan aku janji khidmat untuk 15 calonnya yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-16, berjanji untuk terus berkhidmat di kawasan pilihan raya tanpa mengira keputusan pilihan raya.

Aku janji tersebut, yang ditandatangani oleh kesemua 15 calon, menggariskan lima komitmen yang berpusat pada penglibatan komuniti, perumahan, pengangkutan awam dan akauntabiliti kerajaan, mencerminkan matlamat parti itu untuk menawarkan apa yang digambarkannya sebagai "wakil pembangkang yang berkualiti tinggi".

Pemimpin Bersama Rafizi Ramli, yang membacakan aku janji khidmat itu di pusat operasi parti di Stulang, berkata aku janji tersebut selaras dengan fokus untuk menjadi pembangkang yang "berfungsi, cekap dan berkelayakan" dalam dewan undangan negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi.

“Jika Bersama bertanding dengan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, maka adalah wajar bagi kami untuk mengemukakan manifesto.

“Namun, memandangkan kami tahu objektif kami adalah untuk menjadi pembangkang yang berkualiti tinggi, saya dan rakan-rakan percaya pendekatan terbaik adalah calon Bersama menawarkan aku janji khidmat,” kata bekas menteri ekonomi itu.

Di bawah aku janji pertamanya, Bersama komited untuk menganjurkan kaunter aduan awam mudah alih bulanan, mengendalikan platform digital untuk penduduk membangkitkan isu-isu tempatan dan nasional, dan memudahkan forum awam, petisyen dan kempen untuk memastikan perkara yang melibatkan rakyat Johor mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

Parti itu juga berikrar untuk bekerjasama dengan jabatan kerajaan berkaitan untuk mencadangkan alternatif yang membina dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh orang ramai.

Mengenai perumahan, Bersama berkata calonnya akan berusaha untuk memelihara warisan dan identiti Johor dalam pembangunan hartanah, melindungi kampung tradisional daripada diceroboh projek komersial, dan melindungi penduduk daripada kesan pembangunan perindustrian seperti pusat data jika dirancang dengan buruk.

Parti itu juga berikrar untuk mendesak penambahbaikan kepada garis panduan perumahan negeri bagi memastikan rakyat Johor dapat memiliki atau menduduki rumah yang sesuai untuk keperluan keluarga mereka.

Mengenai pengangkutan, Bersama mencadangkan sistem pengangkutan awam berasaskan bas bersepadu untuk melengkapi rangkaian transit massa yang sedang dibangunkan di Johor Bahru, dengan penekanan pada peningkatan ketersambungan kilometer pertama dan kilometer terakhir.

Calon-calonnya juga berikrar untuk mengenal pasti dan membina sokongan awam untuk projek penaiktarafan jalan raya yang memerlukan pembiayaan negeri dan persekutuan.

Komitmen terakhir memberi tumpuan kepada tadbir urus, dengan Bersama berjanji untuk memantau prestasi kewangan kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan bagi mencegah kebocoran dan pembaziran dana awam.

Ia juga berikrar untuk menyokong penambahbaikan berterusan terhadap prosedur kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mengurangkan birokrasi untuk orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS