Keanggotaan Azam Baki dalam Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya akan tamat pada tahun depan, kata ketua pengarahnya Shamshun Baharin Mohd Jamil.
Katanya, Azam dilantik bagi tempoh tiga tahun mulai 20 September 2024 hingga 19 September 2027.
“Pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Shamshun Baharin.
“Oleh itu, keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan ketua pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kenyataan pagi ini, Shamshun Baharin justeru berkata kehadiran Azam dalam mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu selaras dengan akta kerana dia merupakan anggota yang sah.
Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah kritikan terhadap penyertaan Azam dalam NFCC selepas gambarnya dalam mesyuarat lembaga penasihat NFCC dimuat naik di laman Facebook Jabatan Peguam Negara.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, yang mungkin menyangka ia lantikan baru, mempersoalkan justifikasi kerajaan melantik Azam, yang berdepan pelbagai kontroversi ketika berkhidmat.

Semakan Malaysiakini semalam mendapati satu hantaran bertarikh 15 Okt 2025 di laman web rasmi Jabatan Perdana Menteri menyenaraikan Azam sebagai anggota lembaga penasihat.
Laman web NFCC juga memaparkan nama Azam sebagai anggota lembaga penasihat atas kapasitinya sebagai bekas ketua pesuruhjaya SPRM.
Kelmarin, lima anggota parlimen PKR menggesa kerajaan mendedahkan semua dapatan siasatan berhubung pegangan saham Azam yang didakwa melebihi syarat had pemilikan terhadap penjawat awam.
Gesaan itu dibuat selepas sekumpulan aktivis berarak ke parlimen untuk menyerahkan memorandum menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan "mafia korporat" membabitkan SPRM.
Kerana pengalaman 37 tahun, kata Azam
Sementara itu, Azam juga berkata dia dilantik oleh Agong bukan sebab jawatan terdahulunya dalam SPRM.
"Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sebab jawatan saya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan," dia dipetik sebagai berkata kepada BH.
Katanya, lantian itu dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Seksyen 5 Akta NFCC.
