mk-logo
Berita
Trump campur tangan, pemain US dapat kad merah boleh beraksi lawan Belgium
Diterbitkan:  Jul 6, 2026 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan campur tangan bagi membantu pemain bola sepak Amerika Syarikat, Folarin Balogun, sekali gus membolehkan penyerang itu beraksi menentang Belgium dalam perlawanan Piala Dunia FIFA pada Isnin, lapor Xinhua.

Balogun dilayangkan kad merah semasa perlawanan Pusingan 32 AS menentang Bosnia dan Herzegovina pada Rabu kerana memijak kaki kanan Tarik Muharemovic, tindakan yang mengakibatkan penggantungan automatik selama satu perlawanan.

Trump menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, beberapa jam selepas perlawanan itu dan meminta menyemak semula penggantungan Balogun, lapor The New York Times yang memetik kenyataan empat individu yang mengetahui mengenai perbualan tersebut.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, FIFA memaklumkan Balogun boleh beraksi dalam perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026 bagi pasukan tuan rumah bersama itu menentang Belgium di Stadium Seattle.

Menurut peruntukan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA (FDC), pelaksanaan penggantungan automatik perlawanan terhadap Balogun ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama setahun, menurut kenyataan itu.

Artikel 27 FDC membenarkan badan kehakiman FIFA untuk menangguhkan pelaksanaan tindakan tatatertib, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.

"Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan yang nyata!" tulis Trump di platform media sosial Truth Social.

Keputusan untuk membatalkan penggantungan itu adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan merupakan kali pertama sejak 1962 apabila FIFA membenarkan seorang pemain beraksi dalam perlawanan, walaupun pemain itu sepatutnya digantung selepas dibuang padang dalam saingan Piala Dunia, menurut laporan The New York Times.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS