Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wawasan masuk PN, PAS terlepas rebut Indera Mahkota?

PAS mungkin berdepan sedikit masalah untuk meletakkan calon parti itu di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia susulan penyertaan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang Ahmad Azlan Abu Bakar (gambar bawah) ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata perkembangan terbaru dalam PN, termasuk penyertaan Wawasan, akan memberi kesan secara tidak langsung terhadap usul yang dikemukakan semasa mesyuarat Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota sebelum ini.

"Asasnya adalah usul untuk memohon PAS bertanding di Indera Mahkota.

“Tetapi, apa-apa keputusan (akan) dibuat pihak kepimpinan tertinggi parti.

"Kita (ahli PAS) diajar untuk sentiasa mematuhi keputusan kepimpinan, selagi mana ia tidak melanggar dasar (perjuangan) parti," jelasnya.

Dia juga memaklumkan keputusan membawa usul itu pada Jun lalu dibuat berdasarkan maklumat dan dapatan awal pihaknya ketika turun ke lapangan.

Bagaimanapun, Ahmad Azlan berharap sebarang keputusan yang diambil pimpinan PAS berhubung kerusi Parlimen Indera Mahkota akan membawa kebaikan kepada PN.

Kerusi Indera Mahkota ketika ini disandang Saifuddin Abdullah, bekas pemimpin beberapa parti yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bersatu pada PRU ke-15.

Saifuddin kini antara watak utama yang menggerakkan Wawasan di Pahang.

Turut bersamanya ialah Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah, yang juga berasal daripada Bersatu, sebelum kedua-duanya dipecat daripada parti itu.

Berdasarkan peranan Saifuddin dalam Wawasan, tidak mustahil dia akan memohon untuk kekal bertanding di kerusi itu pada PRU ke-16.

Bagaimanapun, Saifuddin mahupun Wawasan masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kerusi itu.

Pada Jun lalu, Pemuda PAS Pahang menegaskan mereka mahu calon daripada parti itu bertanding di Indera Mahkota.

Mereka mengusulkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu sebagai calon paling sesuai diletakkan di kerusi berkenaan.

Andansura (gambar bawah) ketika ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah dan Ketua PAS Kawasan Indera Mahkota. Dia menjadi Adun Beserah sejak tiga penggal lalu.

Sebelum ini, Bersatu Pahang selepas pemecatan Saifuddin telahpun menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi juga mengumumkan mahu bertanding di parlimen itu.

Ahmad Farhan berkata pihaknya komited untuk merampas kerusi Parlimen itu berdasarkan rekod kemenangan PKR di kawasan berkenaan pada 2008, 2013 dan 2018, sekali gus membantu parti itu kekal menerajui kerajaan pada PRU16.

Untuk rekod, Saifuddin – yang pernah menjadi anggota kabinet kerajaan PH 1.0 – mewakili kerusi berkenaan sejak 2018.

Dia mewakili PKR ketika itu sebelum menjadi sebahagian ahli parlimen yang meninggalkan PH dalam peristiwa Langkah Sheraton.

Dia kemudian menyertai Bersatu dan bertanding sekali lagi dalam PRU ke-15 lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS