Paling Popular
Terkini

PRN JOHOR | Pasukan kempen calon PH bagi kerusi Skudai, Karthiyaini Jeyapalan, mendakwa pencabarnya dari BN, Tan Hiang Kee, melakukan kesalahan pilihan raya hari ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, berkongsi dua keping gambar sebuah kereta yang diletakkan di luar SMK Taman Tun Aminah dengan pelekat kempen Tan pada hud kenderaan tersebut.

"Ini menyalahi undang-undang dan merupakan satu kesalahan pilihan raya. Sila ambil tindakan!" katanya dalam hantaran itu sambil menandakan laman Facebook rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Kasthuri memberitahu gambar berkenaan diambil lebih awal oleh pasukan kempen Karthiyaini sebelum dikongsikannya di media sosial.

Malaysiakini telah menghubungi Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom, untuk mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, pengurus kempen Karthiyaini yang juga Adun Buntong, Thulsi Manogaran, mengesahkan pasukan mereka melihat kereta berkenaan ketika melawat pusat mengundi pagi tadi.

"Kami pergi ke sana untuk melihat proses pengundian. Kemudian kami nampak kereta itu. Kami bertanya (kepada pemandu), malah calon sendiri yang bertanya," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Thulsi lagi, pemandu berkenaan mendakwa ia merupakan “kereta Grab" namun pihaknya meragui alasan tersebut.

Sementara itu, pengurus kempen Tan, Lim Soon Hai, berkata kereta berkenaan bukan sebahagian daripada pasukan kempen rasmi mereka, sebaliknya "mungkin milik penyokong biasa yang tidak mengetahui undang-undang".

Katanya, pasukan Tan akan mengeluarkan peringatan menerusi Facebook supaya penyokong menanggalkan sebarang pelekat kempen daripada kenderaan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS