Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menolak sindiran bahawa parti itu sering ‘mengubah tiang gol’, sambil menegaskan strateginya mungkin berubah tetapi matlamat politiknya kekal sama.
Kenyataan itu dipercayai sebagai maklum balas terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan pendirian PAS menjelang PRN Negeri Sembilan boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.
“Ada yang kata PAS selalu tukar tiang gol. Hakikatnya PAS tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan, dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri. Dalam proses jaringkan gol itulah ; strategi, pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu.
“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat jaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan. Pasukan PAS tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri.

“Liga berikutnya di Negeri Sembilan akan menyaksikan PAS mengotakan janji ini,” katanya pada kenyataan di media sosial hari ini.
Bagaimanapun, Fadhli tidak menjelaskan pihak yang dimaksudkannya sebagai “lawan” ketika PAS dilaporkan sedang berbincang dengan Umno mengenai strategi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa rundingan sedang berlangsung bagi memberi laluan kepada Umno mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023.
Perbincangan itu menurutnya turut melibatkan pembahagian 17 kerusi yang kini dipegang Pakatan Harapan (PH), selain kemungkinan membincangkan dua kerusi Bersatu.

PAS pula dijangka kekal bertanding di tiga kerusi disandangnya, iaitu Bagan Pinang, Serting dan Paroi.
Abdul Hadi berkata matlamat perbincangan itu supaya pemerintahan Negeri Sembilan diterajui Melayu-Islam, selain menyatakan PAS tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan menteri besar diberikan kepada Umno.
Namun, Zahid hari ini berkata Umno dan PAS tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi, manakala sebarang perbincangan hanya bersifat persefahaman dan belum dimuktamadkan.
“Tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat. Kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS.

“Cuma kalau ada perbincangan pun sekadar understanding atau persefahaman dan kita tidak memuktamadkan sebarang perbincangan itu,” katanya.
Zahid turut mengingatkan bahawa pendirian PAS menjelang PRN Johor sebelum ini berubah apabila tiba hari pengundian.
“Jadi, jangan positif sangatlah dengan mereka ini. Kita harus bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu positif.
“Mereka boleh tukar goal post (tiang gol) bila-bila masa. Saya anggap itu sebagai kenyataan politik oleh mereka,” katanya.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima.
Daripada 17 kerusi PH, DAP memenangi 11, PKR lima dan Amanah satu. PAS pula memenangi tiga daripada lima kerusi PN, manakala baki dua kerusi dimenangi Bersatu.
Dalam analisis berasingan, kemungkinan PAS memberi laluan kepada BN di kerusi tertentu dilihat boleh memperkukuh peluang gabungan itu menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri Ogos depan.
Berdasarkan pola PRU15, gabungan undi BN dan PN di Chennah mencecah 56 peratus berbanding 44 peratus PH, sekali gus meletakkan Setiusaha Agung DAP Anthony Loke dalam risiko jika berlaku pertembungan satu lawan satu.
Menteri besar sementara Aminuddin Harun di Sikamat serta kerusi Klawang, Ampangan dan Pilah turut dianggap terdedah kepada senario sama.
Jika BN mempertahankan 14 kerusinya dan memenangi lima kerusi berkenaan, gabungan itu akan memperoleh 19 kerusi, cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan dijadualkan Sabtu ini manakala pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
