Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PAS laksana lilin membakar diri demi saudaranya di Johor’
Diterbitkan:  Jul 16, 2026 3:46 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan parti itu seperti lilin membakar diri di Johor demi “menerangi perjalanan saudaranya” Umno dalam pilihan raya negeri, Sabtu lalu.

“Laksana pokok buah-buahan yang menggugurkan buahnya yang lazat kepada kanak-kanak nakal yang merejamnya dengan batu dan kayu,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas pengorbanan parti itu mengerahkan anggota penyokong mengundi BN dengan “mengetepikan salah laku Umno terhadap PAS”.

Seruan itu, katanya, dilakukan walaupun PAS sendiri hilang kerusi dimenanginya dalam PRN itu.

Dalam PRN Johor baru-baru ini, PAS tewas di semua 11 kerusi yang ditandingi termasuk gagal mempertahankan DUN Maharani yang disandangnya.

Abdul Hadi mengiringi calon mereka di Maharahi Mohamad Anuar Hayan

Menulis di media sosial hari ini, Abdul Hadi berkata PAS bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan Johor yang terus dipimpin Melayu-Islam dan atas “kegagalan DAP bersama sekutunya, PH dan Umdap” daripada menawan Johor. 

Umdap adalah gelaran yang sering dilontarkan bagi menyindir kerjasama Umno-DAP dalam kerajaan pusat.

“Ucapan tahniah ditujukan kepada Johor, dan PAS tidak memerlukan sebarang kerusi hadiah daripada Johor. 

“Apa yang paling diharapkan oleh PAS ialah perpaduan Melayu-Islam yang memimpin negara Malaysia yang tercinta ini bersama bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Onn Hafiz (tengah) yang memimpin kemenangan BN

BN mempertahankan tampuk kekuasaan di Johor dengan menang besar 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU lalu.

PH menjadi pembangkang tunggal dengan lapan kerusi, merosot dua kerusi.

Parti-parti lain–Bersatu, Bersama dan Muda–gagal mendapat sebarang kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS