Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada sebarang arahan atau larangan yang dikeluarkan terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor daripada berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Samsuri turut menyifatkan kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Sanusi 'menyibukkan diri" di Kedah sebagai pandangan peribadi.
“Itu pandangan daripada beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional. Kita ambil maklum. Saya percaya ia bergantung kepada Datuk Seri Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas ini.
“Sama seperti saya dan beliau, kami berdua adalah Menteri Besar yang selain berkempen politik masih mempunyai tanggungjawab mentadbir negeri. Kalau beliau dapat datang, beliau datanglah,” kata Samsuri seperti dipetik oleh Malaysia Gazette pada sidang media di Seremban malam tadi.
Semalam, Ahmad Zahid menggesa Sanusi supaya berhenti memainkan isu kaum dan agama sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, selian meminta dia supaya “menyibukkan diri” di Kedah.
Ahmad Zahid berkata, ucapan Sanusi mungkin sesuai di Kedah, tetapi bukan di Negeri Sembilan kerana ia boleh menyebabkan keresahan dalam masyarakat berbilang kaum.

Kelmarin media melaporkan Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN ketika berceramah di Jempol menyebut yang orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain kecuali Malaysia berbanding kaum-kaum lain.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu (Malaysia) ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.
"Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya di hadapan lebih 300 hadirin.
Bagaimanapun menteri besar Kedah itu mendakwa kenyataannya telah diputar belit dan mengatakan akan membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya.
Dia juga mengancam akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya bagi kepentingan politik.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Chong Zhemin mengkritik Presiden MCA, Wee Ka Siong kerana memberikan respons yang disifatkannya sebagai “lemah” dan “mengelak” berhubung kenyataan Sanusi.
Menurut Ahli Parlimen Kampar itu, pendirian Wee berbeza dengan Presiden MIC, SA Vigneswaran yang menolak dakwaan bahawa masyarakat Cina dan India Malaysia adalah orang asing, selain meminta BN mempertimbangkan semula kerjasama dengan PN.
Chong berkata, Wee sepatutnya menyatakan dengan jelas bahawa kenyataan Sanusi adalah tidak tepat, serta meminta pemimpin PAS itu menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.
Dia juga menggesa Wee menjelaskan sama ada MCA akan mengkaji semula kerjasama dengan PN jika Sanusi enggan berbuat demikian.
“Selagi Wee tidak mengambil tindakan ini, kenyataannya hanya dilihat sebagai usaha melindungi Sanusi dan mengalihkan perhatian kepada DAP,” katanya.
Semalam Wee berkata DAP sekadar berdrama dalam politik dan mengambil sikap marah secara terpilih dalam respons mereka terhadap Sanusi.
Katanya, cubaan DAP untuk menggambarkan mereka sebagai satu-satunya pembela masyarakat Cina adalah tidak meyakinkan, malah parti itu juga menggunakan retorik perkauman dan agama apabila sesuai.
Wee turut memetik ucapan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, dan naib pengerusi parti itu, Nga Kor Ming, yang didakwanya dikritik kerana menghina kaum dan agama tertentu.
