Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji mengenal pasti kegagalan tadbir urus yang serius, campur tangan politik dan amalan perakaunan yang meragukan menyumbang kepada krisis kewangan organisasi itu antara 2014 hingga 2020.
Dalam laporannya, suruhanjaya enam anggota yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif berkata kelemahan dalam Akta Tabung Haji 1995 memberi kuasa yang berlebihan kepada menteri, terutamanya mengenai pelantikan ke lembaga dan pengurusan kanan tabung tersebut.
Ketiadaan keperluan kelayakan dan kepakaran yang jelas membolehkan ahli politik yang masih aktif terlibat dalam pengurusan institusi tersebut, menjejaskan kredibilitinya dan mempengaruhi keputusan mengenai pembayaran hibah dan bantuan kewangan.
Panel RCI juga mengesyorkan pindaan undang-undang untuk melarang ahli politik yang masih aktif daripada memegang jawatan kepimpinan dalam Tabung Haji atau anak syarikatnya.
Ia juga mencadangkan kriteria pemilihan khusus untuk ahli lembaga, termasuk pengalaman dan kepakaran profesional yang berkaitan.
Laporan itu mendapati ahli lembaga pengarah dan eksekutif kanan kerap memegang jawatan sebagai pengarah atau pengerusi pelbagai syarikat subsidiari.
Ia dikatakan menyebabkan tumpuan mereka terhadap tanggungjawab teras terjejas dan mewujudkan konflik kepentingan.

‘Perakaunan kreatif’
RCI berkata Tabung Haji menghadapi krisis kewangan yang serius pada 2017, yang diburukkan lagi oleh apa yang digambarkannya sebagai “perakaunan kreatif”.
Antara lain, institusi itu didakwa menggunakan dasar rosot nilai yang tidak konsisten dan gagal merekodkan kerugian besar untuk menyokong pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 dan 2017, ketika Ahli Parlimen Baling Azeez Rahim merupakan pengerusi Tabung Haji dan kerajaan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
Ini termasuk RM227.81 juta dalam rosot nilai yang melibatkan anak syarikat yang tidak diiktiraf dalam akaunnya.
Jelas laporan itu, amalan tersebut menyumbang kepada jurang yang semakin melebar antara aset dan liabiliti Tabung Haji.
Suruhanjaya itu juga mengkritik kekurangan dalam pengawasan kawal selia dan audit.
Ia berkata ketua audit negara tidak cukup tegas dalam mengaudit penyata kewangan Tabung Haji, terutamanya mengenai "emphasis of matter" dalam akaun 2017 yang sepatutnya dianggap sebagai kes ketidakpatuhan yang serius.
Penyeliaan Bank Negara Malaysia terhadap institusi itu juga didapati tidak konsisten dengan peruntukan Akta Tabung Haji.
Pelaburan yang merugikan
RCI mengetengahkan beberapa pelaburan yang mengakibatkan kerugian yang ketara dan mengesyorkan agar ia tertakluk kepada audit forensik.
Ini termasuk pelaburan yang melibatkan PT TH Indo Plantations, TH Properties Sdn Bhd dan FGV Holdings Bhd.
Laporan itu menyatakan bahawa beberapa pelaburan telah dijalankan di bawah visi Tabung Haji untuk menjadi "tonggak ekonomi ummah", walaupun institusi itu kekurangan kepakaran yang mencukupi dalam sektor seperti perladangan berskala besar dan pembangunan hartanah.
Ia mengesyorkan agar Tabung Haji menumpukan perhatian pada pengurusan dana dan mengelakkan pelaburan berisiko tinggi atau strategik di luar kecekapan terasnya.
Suruhanjaya itu juga mencadangkan pembahagian pengawasan menteri terhadap institusi tersebut.
Di bawah syor itu, menteri hal ehwal agama akan bertanggungjawab untuk operasi haji, manakala menteri kewangan akan menyelia pelaburan dan pengurusan dana.
Sebuah badan bebas juga harus ditubuhkan untuk menasihati perdana menteri mengenai pelantikan ke lembaga Tabung Haji.

Lantik firma akauntan swasta
Laporan itu mengesyorkan agar Tabung Haji melantik firma perakaunan swasta dan bukannya bergantung kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit penyata kewangannya.
Ia menyatakan bahawa pembayaran hibah hanya harus diluluskan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang lengkap dan diaudit, bukannya akaun sementara atau pro forma.
RCI juga mencadangkan penubuhan dana haji khusus untuk menguruskan pelaburan berkaitan haji di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.
Bagi menangani peningkatan kos haji, suruhanjaya itu mengesyorkan peningkatan simpanan minimum yang diperlukan untuk pendeposit bagi melayakkan diri menunaikan haji.
Ia juga menyatakan subsidi haji harus disasarkan hanya kepada pendeposit yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
Laporan itu menggesa audit forensik ke atas pelaburan terdahulu dan tindakan tatatertib atau undang-undang diambil terhadap ahli lembaga atau eksekutif kanan yang didapati melakukan salah laku.
RCI itu menyimpulkan bahawa struktur institusi sedia ada Tabung Haji harus dikekalkan, tetapi menyatakan bahawa tadbir urus dan operasinya memerlukan pembaharuan segera dan asas untuk melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan jangka panjangnya.
Panel RCI juga terdiri daripada bekas ketua setiausaha kerajaan Samsudin Osman; pengasas Kumpulan RHB Abdul Rashid Hussain; pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARIASEAN Mohd Munir Abdul Majid; naib canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Asmadi Mohamed Naim; dan akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.
Setiausaha suruhanjaya itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini, Hakimah Mohd Yusoff.
Ia juga dibantu oleh tiga pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara - Asmah Musa, Nazran Mohd Sham dan Budiman Lutfi Mohamed.
