Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Satu lagi kes dadah libatkan rakyat M’sia di Indonesia

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya, Jawa Timur, kerana disyaki cuba menyeludup 990g metamfetamin dan 1,089 biji pil ekstasi.

"Ya, JSJN akan ambil tindakan susulan kes ini juga," kata Hussein Omar kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Laporan media Indonesia mengenal pasti suspek melalui inisial DI, mendakwa mereka menyembunyikan dadah bawah korset yang dipakai pada badan.

"Empat paket 'syabu' (metamfetamin) seberat kira-kira 1kg, dan empat paket kira-kira 1,000 biji pil ekstasi (MDMA). Semuanya dilekatkan pada badan," kata Hussein.

Hussein Omar

Pihak berkuasa Indonesia turut melaporkan bahawa empat paket metamfetamin dengan berat keseluruhan 990g dan empat paket mengandungi 1,089 biji pil ekstasi dilekatkan pada badan suspek.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai Rp2.9 bilion (kira-kira RM660,000).

Pegawai Lapangan Terbang Juanda Novi Manunggal dilaporkan berkata penahanan itu dibuat susulan maklumat daripada Pasukan Penguatkuasaan dan Penyiasatan Kastam Juanda.

"Kami menerima maklumat pada jam 9.50 pagi waktu tempatan mengenai seorang penumpang yang mencurigakan," kata Novi, seperti dipetik portal Kompas.com hari ini.

Suspek tiba menaiki penerbangan Batik Air OD 352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya pada jam 10.16 pagi pada 29 Julai.

"Pegawai kemudian menempatkan anggota di kawasan landasan pesawat, pemeriksaan imigresen dan kawasan saringan X-ray Kastam," kata Novi.

Siasatan awal dilaporkan mendapati suspek mendakwa bersetuju menjadi keldai dadah kerana masalah kewangan dan hutang.

Penahanan itu berlaku sehari selepas seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta selepas pihak berkuasa Indonesia mendakwa menemui dadah dalam simpanannya.

Awal hari ini, Hussein berkata siasatan terhadap penahanan juruterbang itu mengenal pasti seorang pekerja lapangan terbang berusia 30-an sebagai individu berkepentingan dalam menyiasat bagaimana dadah berkenaan boleh melepasi saringan keselamatan di KLIA.

Kedua-dua kes itu menimbulkan persoalan lanjut mengenai saringan keselamatan bagi penumpang yang berlepas dari lapangan terbang Malaysia.

Bagaimanapun, tiada petunjuk bahawa kedua-dua kes itu berkaitan.

Bawah undang-undang antidadah Indonesia, kedua-dua warga Malaysia itu boleh berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup, atau penjara antara lima hingga 20 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS