Kerajaan akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengendalikan aspek keselamatan penerbangan (aviation security) di lapangan terbang sebagai langkah segera bagi mengelakkan insiden penyeludupan dadah rentas negara daripada berulang.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu merupakan antara penambahbaikan yang dipersetujui susulan insiden seorang juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.

"Jemaah menteri telah dimaklumkan oleh pihak Kemnterian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.
"Aviation security perlu ditempat anggota PDRM kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah di kalangan polis bantuan," katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata demikian ketika mengulas kejadian melibatkan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang Indonesia baru-baru ini kerana didakwa memiliki dadah.
Isnin lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan juruterbang itu memiliki lebih 70,000 pil ekstasi (MDMA) serta 2.7 gram methamphetamine dan melepasi semua pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Jakarta bersama 170 penumpang.

Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan pemeriksaan wajib terhadap juruterbang berusia 39 tahun itu sebelum berlepas tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan seperti biasa dengan menggunakan pengimbas, barangan atau beg yang dibawanya tidak menghasilkan imej yang mencurigakan.
“Justeru, dia melepasi pemeriksaan biasa yang dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan di KLIA. Mana-mana individu yang berniat membawa barangan terlarang mungkin menyembunyikannya. Mungkin cara barangan itu dibungkus menyebabkan pengimbas tidak dapat mengesannya.
“Jadi modus operandi membungkus atau menyembunyikan MDMA dan methamphetamine itu kita masih menunggu maklumat daripada pihak polis,” kata Shuhaily.
Dalam perkembangan sama Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, pihak Malaysia Aviation Group (MAG) juga diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang dan saringan kesihatan bagi juruterbang dan pembantu juruterbang selepas mengambil kira insiden yang berlaku.
"Pasukan PDRM dan AKPS diminta meneliti aspek-aspek yang mungkin disalahguna termasuk kelompangan yang mungkin ada, dan ini perlu ditutup dan diuruskan dengan segera," katanya.

Ditanya mengenai cadangan supaya kerajaan penubuhkan semula Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi, Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan secara spesifik dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.
Bagaimanapun dia meminta perkara itu dirujuk kepada KDN dan pihak kerajaan hanya menerima laporan lisan berhubung kejadian melibatkan juruterbang berkenaan.
"Pada waktu ini kita baru terima laporan lisan daripada MOT dan KDN, memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh dan kita akan teliti pertimbang tindakan-tindakan susulan.
"Mengenai meletakkan anggota polis (di lapangan terbang) selepas kita mendapat laporan penuh kes tersebut, kita perlu tahu siapa lagi yang terlibat, mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu diambil," kata Fahmi.

Terdahulu, Naib Presiden MCA, Lawrence Low menggesa kerajaan persekutuan menghidupkan semula tiga pasukan khas polis yang dibubarkan ketika pentadbiran PH pada 2018.
Dia berkata pembubaran Stagg, Sting dan Stafoc meninggalkan kelompongan dalam keupayaan taktikal serta risikan polis.
"Kelompongan dalam penguatkuasaan khusus untuk menangani isu ini tidak boleh lagi dipandang remeh oleh pihak kerajaan.
"Ia perlu dikembalikan untuk menggempur akar umbi sindiket jenayah terancang dan kartel dadah antarabangsa yang menjadikan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah," katanya.
