PARLIMEN | Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin mencadangkan penubuhan sebuah "super-regulatory body" atau “badan kawal selia tertinggi” khusus untuk mengawasi institusi kewangan bukan bank yang menguruskan simpanan dan dana awam.
Ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat hari ini, Radzi berkata siasatan itu sepatutnya menjadi pencetus kepada rombakan lebih menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan TH, malah turut merangkumi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan PTPTN.
“Pada masa ini, kita tidak mempunyai rangka kerja kawal selia yang jelas dan menyeluruh bagi Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI),” katanya.
Radzi berkata institusi-institusi berkenaan ditadbir di bawah undang-undang yang berasingan serta diawasi oleh kementerian atau agensi yang berbeza.

Dia berhujah kegagalan institusi sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan pendeposit, malah kerajaan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Kita mesti ingat bahawa kegagalan mana-mana institusi ini bukan sahaja akan menjejaskan pendeposit, tetapi juga kerajaan dan negara.
“Sebagai contoh, kegagalan Tabung Haji menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sukuk bernilai RM27.8 bilion untuk menyelamatkan institusi itu,” katanya.
Radzi berkata cadangan RCI supaya pengurusan dana TH diletakkan di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi.

“Cadangan RCI supaya pengurusan dana Tabung Haji diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah tidak mencukupi. Pendekatan yang menyeluruh diperlukan.
“Apa yang berlaku jika selepas ini timbul masalah di LTAT atau KWAP, misalnya? Adakah kita akan menubuhkan satu lagi RCI,” soalnya.
Wakil rakyat Bersatu itu mencadangkan supaya Malaysia mempertimbangkan Australia’s Prudential Regulation Authority (APRA) sebagai model dan memetik pandangan bekas gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim yang pernah mencadangkan penubuhan sebuah “badan kawal selia tertinggi”.
“Pandangan yang dikemukakan itu selari dengan apa yang saya nyatakan sebelum ini.

“Saya mencadangkan agar kerajaan duduk berbincang dengan Tan Sri Muhammad Ibrahim dan pakar kawal selia untuk membincangkan mengenai ‘badan kawal selia tertinggi’ ini.
“Marilah kita memanfaatkan peluang ini untuk melaksanakan penstrukturan semula rangka kerja kawal selia secara menyeluruh,” tambah Radzi.
Sementara itu, Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) memberi tumpuan kepada usaha memperketat tadbir urus dalaman TH.
Katanya, RCI mengesyorkan supaya ahli politik yang masih aktif dilarang berkhidmat sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah TH dan anak syarikatnya, selain memperkenalkan kriteria kepakaran bagi pelantikan ahli lembaga.

“Saya mencadangkan agar kita pergi lebih jauh, setiap calon ahli lembaga mesti melalui proses saringan yang jelas berdasarkan integriti serta pengalaman dalam pelaburan, kewangan Islam, pengurusan risiko, audit, perakaunan, undang-undang, tadbir urus korporat dan pengurusan haji.
“Konflik kepentingan juga mesti diisytiharkan. TH mesti diuruskan oleh individu yang berkelayakan, bukan semata-mata individu yang mempunyai hubungan atau pengaruh,” katanya.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mengingatkan supaya kerugian pelaburan tidak disamakan secara automatik dengan salah laku.
“Kita mesti berlaku adil ketika membincangkan pelaburan. Pelaburan mempunyai risiko. Tidak setiap kerugian bermakna telah berlaku salah laku.

“Namun, kita mesti dapat membezakan antara kerugian yang disebabkan oleh turun naik pasaran dengan kerugian yang berpunca daripada keputusan cuai, konflik kepentingan atau kegagalan dalam proses tadbir urus," kata Aminuddin.
Tambahnya lagi, RCI mengesyorkan audit forensik terhadap empat pelaburan yang mengalami penurunan nilai serta menggesa supaya pengagihan hibah diteliti dengan lebih dekat.
“Kita juga mesti mengambil serius isu hibah. Seorang pendeposit mungkin melihat satu angka sahaja, berapakah jumlah hibah yang saya terima tahun ini? Tetapi di sebalik angka itu terdapat persoalan yang jauh lebih penting," katanya.
