Pasukan Bukit Aman yang ditugaskan menyoal siasat seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta kerana disyaki mengedar dadah memperoleh petunjuk baru mengenai sindiket yang mempunyai rangkaian tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata Polis Republik Indonesia (Polri) memberikan kerjasama penuh kepada pegawai Malaysia untuk bertemu dan menyoal siasat juruterbang berkenaan.
“Mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak Polri untuk pasukan JSJN berjumpa dan menyoal subjek,” kata Hussein ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, sesi berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos, namun polis Indonesia membenarkan pasukan Malaysia melanjutkan sesi itu selama sehari lagi selepas pertemuan berjalan lancar.

“Jadual asal adalah pada 12 hingga 13 Ogos. Perjumpaan berjalan dengan baik. Pihak Polri memberi ruang untuk tambah lagi sehari perjumpaan, iaitu dilanjutkan sehingga 14 Ogos.
“Subjek juga memberi kerjasama yang baik,” katanya.
Hussein berkata maklumat yang diperoleh sepanjang dua hari pertama membantu penyiasat mengenal pasti sindiket yang beroperasi di Malaysia dan luar negara, selain penglibatan juruterbang terbabit dalam rangkaian berkenaan.
Menurutnya, maklumat itu akan membantu polis Malaysia menjejaki anggota sindiket yang disyaki berada di negara ini, selain membolehkan Bukit Aman menyalurkan risikan mengenai rangkaian pengedaran dadah antarabangsa kepada agensi penguatkuasaan negara berkaitan.

“Perjumpaan tersebut sangat memberikan hasil kepada JSJN dalam beberapa aspek berikut:
"Menjejak ahli-ahli sindiket dadah yang terlibat di Malaysia serta menyalurkan maklumat penting berkaitan rangkaian sindiket dadah antarabangsa kepadaagensi dadah negara-negara berkaitan,” katanya.
Hussein berkata penyiasat turut memperoleh maklumat mengenai cara juruterbang itu didakwa berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain aliran kewangan sindiket berkenaan di Malaysia dan luar negara.
“Polis mendapat tahu bagaimana penama dapat melepasi pemeriksaan di KLIA serta mengetahui aliran kewangan sindiket dadah dalam dan di luar negara,” katanya.
Nombor telefon sindiket
Perkembangan terbaru ini menyusuli kenyataan polis bahawa siasatan mereka tertumpu kepada usaha mengesan sumber dadah berkenaan di Malaysia, menentukan bagaimana bagasi itu didakwa melepasi pemeriksaan keselamatan KLIA dan mengenal pasti kemungkinan kaitannya dengan sindiket antarabangsa.
Pada 4 Ogos lalu, Hussein dilaporkan berkata siasatan mendapati juruterbang itu menerima dadah berkenaan di sebuah apartmen di Ampang, dua hari sebelum penerbangannya.
Polis turut mengesan satu nombor telefon yang didakwa digunakan juruterbang itu untuk menghubungi sindiket berkenaan.
“Kami juga telah mengesan nombor telefon yang digunakannya untuk menghubungi sindiket itu. Polis sedang menyiasat keseluruhan rangkaian pengedaran,” kata Hussein ketika itu.
Siasatan mengenai bagaimana bagasi terbabit melepasi pemeriksaan KLIA turut melibatkan anggota keselamatan lapangan terbang. Polis telah merakam keterangan mereka dalam usaha menentukan sama ada wujud bantuan daripada pihak dalaman lapangan terbang.
Juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 28 Julai selepas pihak berkuasa Indonesia menemukan dadah di dalam bagasinya sebaik dia tiba dari Kuala Lumpur.
Pihak berkuasa Indonesia berkata rampasan itu melibatkan 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 26kg serta sejumlah kecil methamphetamine.
Mereka turut mendakwa juruterbang itu dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan.
Penyiasat Indonesia seterusnya mendakwa juruterbang berkenaan pernah membawa dadah pada beberapa kesempatan sebelum ini, termasuk satu penghantaran methamphetamine ke Jakarta.
Pihak berkuasa juga berkata juruterbang itu didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain selepas ditahan.
Ketua Kastam Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata keputusan ujian berkenaan menunjukkan juruterbang itu telah mengambil bahan narkotik.
Malaysia Airlines kemudian menjelaskan bahawa juruterbang terbabit bukan individu yang mengendalikan penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta itu, sebaliknya berada di kerusi tambahan kokpit sebagai pemerhati.
Menurut syarikat penerbangan itu, dia bukan juruterbang yang menerbangkan pesawat berkenaan.
Pihak berkuasa Indonesia berkata dadah itu mula dikesan selepas pemeriksaan sinar-X menemukan kandungan mencurigakan di dalam beg pakaian juruterbang berkenaan, sekali gus mendorong pemeriksaan fizikal lanjut dilakukan.
Peguam juruterbang itu, Ahmad Rizky Martua Lubis memberitahu Malaysiakini semalam bahawa sesi soal siasat substantif oleh pegawai Malaysia telah selesai pada Rabu manakala proses selepas itu melibatkan penyediaan laporan.
Dia turut mengesahkan ahli keluarga telah dibenarkan menemui juruterbang berkenaan, yang kini dikenakan perintah tahanan lanjutan sehingga empat bulan.
Martua Lubis menegaskan pasukan pembelaan bersedia memudahkan kerjasama antara anak guamnya dengan polis Malaysia namun mahu perlindungan sewajarnya diberikan kepada juruterbang itu dan keluarganya.
