Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ini Tuhan kasi’ - kenapa sukar buat sami pindah dari Gunung Kanthan

Udara di kaki Gunung Kanthan, Ipoh sejuk dan nyaman, ditemani kicau burung serta bunyi unggas di celah-celah kehijauan yang mengelilingi Biara Gua Sakyamuni.

Namun kawasan itu tidak mudah lagi diakses.

Sebelum tiba di pintu masuk utama biara, terdapat pondok polis bantuan yang mengawal keluar-masuk.

Papan tanda “Hak Milik Persendirian” turut dipacak di sekitar biara.

Menghampiri biara, bongkah-bongkah batu disusun bagi membataskan pergerakan.

“Sudah dua bulan mereka letak boulders (bongkah batu). Dulu biara ini tiada pagar,” ujar salah seorang sukarelawan biara itu Yap Seong Yee.

Bagaimanapun, ada lorong kecil tetapi pengunjung masih perlu berhimpit dan menggunakan ruang di celah-celah bongkah batu untuk masuk.

Untuk sampai ke ruang tempat ibadat utama yang terletak lebih tinggi di dalam gua, pengunjung perlu mendaki anak tangga yang merentasi kawasan berbatu dan lembap.

“Hati-hati sikit, ada lumut.”

Pesanan itu beberapa kali kedengaran ketika wartawan Malaysiakini, beberapa hari lalu, mendaki tangga menuju ke ruang tempat ibadat.

Sebahagian tangga masih basah kerana hujan baru turun. Semasa mendaki, peluh membasahi wajah meskipun udara di sekeliling tetap dingin.

“Semakin dekat tempat ini, rasa udaranya sejuk. 

“Kalau masuk dalam, lagi sejuk,” kata ketua sami tempat itu, Bhante Kusala, ketika memimpin wartawan ke sana.

Formasi batu kapur menjadi dinding dan bumbung semula jadi, dengan stalaktit tergantung di atas ruang tempat ibadat.

Ketika Kusala berhenti untuk bercerita, beberapa ekor lalat sesekali hinggap di wajahnya. Dia tidak menghiraukannya.

Kusala terus berkongsi kehidupan mereka di Gunung Kanthan seolah-olah gangguan kecil itu tidak wujud.

Terlintas di fikiran, adakah ketenangan itu datang daripada bertahun-tahun meditasi?

Biara Gua Sakyamuni adalah rumah ibadat dan pertapaan sekumpulan sami yang terancam pembangunan akibat pertikaian tanah dengan syarikat simen Associated Pan Malaysia Cement (APMC), anak syarikat YTL Corporation Berhad.

Keputusan Mahkamah Rayuan tiga tahun lalu bagaimanapun tidak memihak kepada biara, menyebabkan mereka terpaksa berpindah.

Bagaimanapun, bagi mereka, untuk berpindah tidak semudah itu. Biara dikatakan seratus tahun itu mempunyai makna begitu besar bagi mereka, terutamanya daripada aspek kerohanian.

Malaysiakini telah menghubungi YTL Corporation tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pula memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan negeri tidak akan memberikan ulasan atas alasan “mahkamah sudah membuat keputusan”.

Saarani Mohamad

Malaysiakini mengunjungi biara itu sendiri bagi memahami kenapa biara itu begitu penting buat 15 pertapa Buddha yang masih kekal di situ.

Sunyi tanpa gangguan

Ketika kebanyakan orang masih lena dibuai mimpi, hari seorang sami di Biara Gua Sakyamuni sudah bermula.

Kusala berkata para sami lazimnya bangun antara pukul dua ke tiga pagi.

Waktu sebelum matahari terbit digunakan untuk bermeditasi ketika suasana Gunung Kanthan masih sunyi dan hampir tiada gangguan luar.

“Pagi sangat sunyi dekat sini, tak ada gangguan langsung. Udara bersih, bunyi semua semula jadi.

“Lepas itu, kami cari tempat meditasi. 

“Bermula daripada pukul tiga pagi terus sampai terang (siang),” kata bekas doktor haiwan itu yang sudah 25 tahun memilih menjauhkan diri daripada keselesaan “dunia kebendaan”.

Kalau di tempat lain, katanya, keadaan tidak sama.

“Itu kereta punya bising. Orang jeritlah. Itu handphone (telefon) semua punya bunyi. Tapi sini semua natural,” katanya.

Meditasi berterusan sehingga pukul 6.30 atau tujuh pagi sebelum bersarapan. Ada sami yang makan sekali sehari dan ada pula yang makan dua kali sehari.

Makanan pula bergantung kepada penganut yang datang membawa hidangan siap dimasak atau menyediakan sendiri makanan di dapur biara.

Namun kehidupan seorang sami di situ bukan hanya duduk diam bermeditasi.

Selepas makan, mereka melakukan pelbagai kerja di sekitar biara. Jika ada bahagian yang rosak, mereka cuba membaikinya sendiri.

“Kalau hanya duduk meditasi saja, kesihatan tak berapa bagus. Kalau kita buat kerja pun macam senaman.

“Apa yang kena baiki, kita sendiri baiki,” katanya.

Waktu lain pula diisi dengan membaca Sutta, mendengar ajaran Dhamma dan mendapatkan bimbingan daripada sami yang lebih berpengalaman.

Pada hujung minggu, ada penganut yang datang untuk bermeditasi, mempelajari ajaran Buddha atau mendapatkan pandangan mengenai masalah kehidupan.

Ada yang datang dengan masalah keluarga. Ada yang tertekan dengan masalah pekerjaan, anak-anak atau ibu bapa.

“Duit itu hanya sementara saja.

“Yang penting hati, macam mana boleh sunyi,” katanya.

‘Sunyi’ bukan sekadar tiada bunyi

Namun “sunyi” bagi Kusala bukan sekadar keadaan burung tidak berkicau atau manusia tidak bercakap.

Ia juga, kata lelaki 50-an itu, merujuk kepada apa yang berlaku dalam diri seseorang.

“Kalau istilah Buddha, (disebut) Nirvana,” kata anak jati Ipoh itu.

Katanya, sunyi bermaksud bebas daripada keinginan, keresahan dan kemarahan yang mengganggu fikiran.

“Mahu itu, mahu ini. Risau itu, risau ini,” katanya.

Di bahagian bawah Gunung Kanthan pula terdapat beberapa ruang kecil yang digunakan sami untuk bermeditasi.

Di celah batang pokok dan permukaan batu yang menghijau dengan lumut, salah satu daripadanya tidak menyerupai sebuah bilik.

Kelambu (bawah) digantung mengelilingi ruang kecil di atas batu, menjadi pemisah nipis antara sami yang duduk di dalamnya dengan persekitaran gunung.

Beberapa ruang lain menyediakan tempat berehat serba ringkas, ada papan yang ditinggikan sedikit dari lantai dan kelambu.

“Kadang-kadang kita mahu udara segar, sami akan keluar duduk di sini.

“Tapi kalau mahu suasana yang betul-betul tenang, sunyi, kita masuk dalam gua,” kata Kusala.

Kusala berkata ada sami yang berada di dalamnya sehingga setahun.

“Telefon bimbit memang tak ada guna. Isyarat tak boleh masuk,” katanya.

Patung Buddha dalam perut gunung

Di ruang tempat ibadat utama, binaan manusia seolah-olah menyesuaikan diri dengan bentuk semula jadi gua.

Stalaktit masih memenuhi bahagian atas, sementara lantainya dilapisi marmar.

Menurut Kusala, bahan binaan dibawa masuk sedikit demi sedikit oleh generasi sami terdahulu tanpa peralatan moden.

“Ambil masa lama, pelan-pelan siapkan semuanya, satu demi satu,” katanya.

Di dalam gua itu duduknya sebuah patung Buddha keemasan setinggi lebih dua meter.

Di dalam patung itu pula ada patung Buddha lebih kecil yang menurut kisah dibawa oleh pengasasnya “Lao Shi Fu” (mahaguru) dari Thailand ketika tiba di Gunung Kanthan, satu abad lalu.

Dahulu, ketika pokok di hadapan gua belum setinggi sekarang, patung berkenaan boleh dilihat dari luar gua.

Kusala atau nama sebenarnya Chiong Sai Tin merupakan generasi keempat sami yang tinggal di biara itu.

Bagaimanapun kenapa tempat itu begitu istimewa buat mereka? Menurut Kusala, Lao Shi Fu mendapat bayangan tentang tempat itu ketika bermeditasi.

“Dia kemudian datang cari sampai dapat tempat ini.

“Bila dapat tempat macam ini, dia masuk sini,” katanya.

Kusala turut menunjukkan kaligrafi Cina di dinding gua yang menurutnya boleh membuktikan kewujudan rumah ibadat di kawasan itu sekurang-kurangnya pada 1951.

Perkara itu juga, katanya, direkodkan dalam buku sejarah berkaitan Lembah Kinta.

Sementara itu, Kusala turut mengkritik pihak yang menganggap wang mampu membeli apa sahaja. 

“Mana dia boleh beli Tuhan kan,” ujar sami itu.

Katanya, usaha mempertahankan gunung itu dilakukan walaupun memerlukan banyak masa dan tenaga.

“Takkan kita mahu kasi dia letup jadi simen. Sayang.

“Walaupun susah tapi saya tak ada rasa susah sebab saya punya pegangan agama sangat kuat. Apa yang harta (milik) Tuhan tak boleh dimusnahkan.”

Walaupun persekitarannya menawarkan pemandangan yang jarang ditemui di tengah bandar, Kusala tidak melihat Biara Gua Sakyamuni sebagai destinasi pelancongan.

“Orang yang datang dia memang tahu dia nak belajar, (kemudian) dia baru datang.

“Dia datang sini, dia jadikan tempat ini rumah dia, tempat dia.

“Sebab itu kami cakap tempat ini bukan saya punya,” katanya.

Penghuninya tak semua manusia

Penghuni di Gunung Kanthan juga bukan manusia sahaja.

Beberapa ekor anjing berkeliaran di sekitar kawasan biara, sesekali mengikuti mereka yang berjalan dari satu bahagian ke bahagian lain.

Menurut Kusala, sebahagiannya ditinggalkan orang di sekitar kawasan itu sebelum diambil dan dijaga oleh penghuni biara.

Ada juga yang diserahkan kepada mereka selepas pemilik jatuh sakit dan tidak lagi mampu menjaganya.

“Kami pun kutip, kasihan kan.

“Kalau orang minta biara boleh tolong jaga, kita pun angkat jaga,” katanya.

Pokok bodhi dari India

Tidak jauh dari laluan menuju ke gua pula berdiri sebatang pokok bodhi yang menurut Kusala sudah berusia lebih 30 tahun.

Benihnya, katanya, berasal dari India–tempat bermulanya ajaran Buddha.

Pokok bodhi mempunyai makna penting dalam tradisi Buddha kerana pengasas Buddha Siddharta Gautama mendapat pencerahan ketika bertapa di bawah pokok itu.

“Daun pokok ini bentuk seperti hati. 

“Pokok bodhi ini maksudnya kebijaksanaan,” katanya.

‘Kena datang sini sendiri’

Selepas menyusuri kawasan biara, mendaki tangga, memasuki gua dan melihat ruang kecil tempat para sami bermeditasi, satu soalan masih tinggal.

Apa sebenarnya yang menjadikan tempat ini begitu istimewa berbanding biara lain?

Kusala tidak cuba menjawabnya dengan seni bina, patung atau usia biara.

Sebaliknya, katanya, ia sesuatu yang sukar diterangkan kepada orang yang belum pernah menjejakkan kaki ke situ.

“Saya cakap pun kamu tak akan rasa istimewa punya.

“Orang kalau nak rasa istimewa itu, dia kena jalan masuk sini.

“Dia kena sendiri datang sini rasa suasana dia,” katanya merujuk kepada amalan kerohanian mereka.

Kunjungi sejak Tingkatan Enam

Sementara itu, Kusala juga berkongsi kisah peribadinya dengan biara itu yang jauh sebelum dia mengenakan kasaya atau jubah sami.

Dia datang ke biara itu sekitar tahun 1987-88 ketika masih menuntut di Tingkatan Enam.

Selepas melanjutkan pengajian ke universiti, Kusala bekerja selama kira-kira lima tahun sebelum memilih menjadi sami pada 2001.

Kini, dia sudah menetap di Gunung Kanthan kira-kira 25 tahun.

Katanya, ketika muda dia turut mengejar perkara yang biasanya dianggap sebagai kejayaan–keputusan peperiksaan yang baik, kursus dan universiti yang bagus.

Namun, semua itu tidak memberikan apa yang sebenarnya dicari.

“Cari duit itu bukan yang saya betul-betul mahu.

“Dunia kebendaan itu penting tapi semua yang saya dapat itu, boleh beri hati atau jiwa sunyi?

“Tak ada,” katanya.










Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS