Kumpulan sami Buddha dari sebuah biara di Tambun, Perak memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu menyelamatkan rumah ibadat mereka daripada perobohan.
Sami dari Biara Gua Sakyamuni, Gunung Kanthan, dalam kawasan parlimen Anwar, memohon kerajaan pusat mengisytiharkan biara serta kawasan bukit sekitarnya sebagai tapak warisan negara bagi memastikan dipelihara.
Ketua sami yang dikenali sebagai Bhante Kusala berkata permohonan untuk mendapatkan status tapak warisan negara dibuat beberapa kali, namun tidak berjaya.
“Nilai-nilai unik itu memang ada, sudah terbukti. Gunung Kanthan sendiri sudah 450 juta tahun.
“Dengan tempat ibadat kami ini lebih daripada 100 tahun, tempat macam ini memang tak boleh diletupkan, lepas itu jadi simen,” katanya.


Kusala berkata mereka mahukan biara itu diselamatkan demi generasi akan datang.
“Kami ada satu ikrar, tak kira apa yang berlaku, kami akan mempertahankan tempat ibadat kami yang suci,” katanya.
Pada 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan pengeluar simen Associated Pan Malaysia Cement (Apmc) untuk mengusir biara di Lot No. 46497 di Hulu Kinta.
Panel tiga hakim terdiri daripada Azizah Nawawi, See Mee Chun dan Zaini Mazlan, memutuskan biara itu gagal membangkitkan sebarang isu yang boleh dibicarakan untuk menghalang pemberian perintah.
Mahkamah juga menerima hujah syarikat bahawa sebagai pemilik berdaftar mereka berhak untuk berjaya dalam permohonan ringkas bagi pemilikan selepas rayuan didengar.
Menurut laporan itu, Gunung Kanthan merupakan salah satu daripada 12 bukit batu kapur terakhir di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta dan menjadi habitat beberapa spesies flora dan fauna terancam seperti cicak jari melengkung dan anggerik putih.
Dalam permohonannya, pengeluar simen itu berkata mereka menyewa sebidang tanah seluas 146.4 hektar daripada kerajaan negeri untuk aktiviti kuari.
Bagaimanapun, pengurusan biara berhujah bahawa syarikat itu hanya boleh menduduki sebahagian kecil daripada tanah kerana sami mereka menduduki kawasan itu lebih 100 tahun.
Sementara itu, Kusala–yang datang lebih 200 kilometer bersama enam orang sami untuk sidang media di Petaling Jaya–berkata biara di itu menjadi tempat pertapaan dan mengamalkan ajaran Buddha selama empat generasi.
Dia berkata pengasas biara itu pada asalnya datang dari Thailand selepas menemui Gunung Kanthan ketika bermeditasi, sebelum berjalan kaki mencari kawasan itu.
“Selepas dia jumpa tempat itu, dia duduk di sana dan mendapati tempat itu sangat bagus untuk meditasi dan memahami ajaran Buddha.
“Lepas itu semakin ramai sami datang” katanya yang memakai kasaya (jubah kuning sami) pada sidang media bersama barisan peguam.
Kini, katanya, terdapat 25 orang sami bertapa di gua itu.
Kusala berkata biara itu tidak boleh disamakan dengan bangunan biasa yang boleh dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Kalau betul-betul pergi ke Gunung Kanthan, masuk gua dan duduk di sana, anda akan tahu tempat itu memang sangat istimewa.
“Masuk saja anda akan rasa ia tidak sama dengan tempat lain,” katanya lagi.
‘Boleh selesai dengan segores pena’
Sementara itu, peguam mereka N Surendran percaya Anwar boleh menyelesaikan isu itu dengan mudah.
“Dia boleh saja menyelesaikan isu ini dengan segores pena kerana dia bukan sekadar ahli parlimen Tambun tetapi dia juga perdana menteri,” kata bekas naib presiden PKR itu.

Peguam hak asasi manusia itu juga berkata dia tidak menyangka perlu membuat sidang media hari ini kerana perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.
“Mengapa?
“Kerana mereka ialah golongan yang telah meninggalkan kehidupan duniawi, mencari perlindungan dan menjadi simbol serta lambang kekuatan rohani selain menjadi tempat perlindungan rohani kepada orang awam.
“Mengapa mereka perlu berada di Kuala Lumpur pagi ini untuk mengadakan sidang media? Perkara ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan masih menunggu maklum balasnya.

