Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UNHCR: Pelarian belum selamat kembali ke Myanmar
Diterbitkan:  Sep 2, 2026 9:16 AM
Dikemaskini: 5:38 AM

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) memberi amaran pelarian masih belum selamat untuk kembali ke Myanmar yang terus dilanda konflik bersenjata, perang dan keganasan.

Agensi PBB itu turut menjelaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia menyerahkan pelarian ke Myanmar menerusi program yang disifatkan kerajaan sebagai dilakukan secara "sukarela".

“Di bawah konvensyen undang-undang antarabangsa - suatu kewajipan yang mengikat semua negara - tiada sesiapa boleh dihantar ke negara yang boleh menyebabkan hak atau kebebasan mereka terancam.

“Sebarang penghantaran pulang pelarian mesti dilakukan secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dibuat selepas mendapat maklumat secukupnya, serta berlangsung dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya pada kenyataan seperti dipetik Reuters.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu berkata fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela sudah dimuktamadkan, dengan 1,476 pelarian dijadualkan kembali ke Myanmar pada 29 September.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 etnik Rohingya ketika ketegangan membabitkan pelarian semakin meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan di Malaysia.

Sementara itu, UNHCR menggesa kerajaan meneliti keperluan perlindungan setiap individu sebelum mereka dihantar pulang.

“UNHCR menggesa supaya keperluan perlindungan semua pihak yang terlibat dipertimbangkan dengan teliti sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar dan bersedia untuk berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai langkah perlindungan,” katanya.

Ribuan pelarian meninggalkan Myanmar dalam beberapa gelombang, bermula dengan dakwaan genosid terhadap etnik Rohingya di Rakhine pada 2017 dan kemudian rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara di seluruh negara itu.

Bangladesh yang juga negara jiran Myanmar kini menempatkan kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya di kem Cox Bazar.

Menurut data UNHCR, setakat Februari lalu, Malaysia menempatkan kira-kira 193,800 pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik, termasuk Rohingya dan Chin.


BACA BERKAITAN:

Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian dengan kapal

Malaysia sedia serah pelarian ke Myanmar secara berperingkat

'Tutup pejabat UNHCR di negara ini jika tiada kerjasama urusan pelarian'

Dr M: Halau pelarian tetap tidak manusiawi


Pada Januari 2020, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah sementara bagi melindungi Rohingya daripada tindakan genosid, memelihara bukti dan melaporkan pematuhannya secara berkala.

Gambar fail, TPM Zahid Hamidi pernah melawat kem pelarian Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh pada Oktober 2017.

Pada Januari tahun ini, ICJ memulakan perbicaraan merit bagi menentukan sama ada Myanmar melanggar Konvensyen Genosid menerusi tindakan tenteranya terhadap Rohingya dan mahkamah itu dijangka memberi keputusannya pada tahun depan.

Ini selepas Gambia - dengan mandat, sokongan dan pembiayaan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) - membawa kes genosid terhadap etnik Rohingya ke mahkamah tersebut pada 2019.

Junta tentera Myanmar melancarkan serangan ke Rakhine pada 2017 yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merumuskan serangan tentera pada 2017 itu merangkumi “tindakan genosid” dengan dakwaan kejadian pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran.

Pada 6 April 2026, aktivis Rohingya Yasmin Ullah bersama 10 tokoh Indonesia memfailkan aduan jenayah kepada Pejabat Peguam Negara Indonesia terhadap pemimpin Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan genosid terhadap etnik Rohingya.

Kumpulan itu termasuk bekas peguam negara Indonesia Marzuki Darusman yang pernah menjadi pengerusi Misi Pencarian Fakta Bebas PBB mengenai Myanmar.

Pendakwa raya Indonesia mengesahkan aduan berkenaan diterima untuk diserahkan kepada bahagian yang mengendalikan jenayah berat.

Tindakan itu menjadi ujian pertama terhadap peruntukan bidang kuasa sejagat dalam kanun jenayah baru Indonesia, yang mula berkuatkuasa awal tahun ini.

Undang-undang itu membolehkan jenayah antarabangsa tertentu disiasat tanpa mengira tempat kejadian atau kewarganegaraan mangsa dan pelakunya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS