Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaysia akan rekrut 200,000 pekerja’ - Bukan kenyataan rasmi Bangladesh

Satu kenyataan yang dilaporkan dari Bangladesh bahawa Malaysia merancang untuk merekrut 200,000 rakyatnya sebagai pekerja di negara ini dalam tempoh enam bulan akan datang bukanlah pendirian rasmi republik itu, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya, Fahmi berkata Menteri Sumber Manusia R Ramanan memaklumkannya tentang perkara itu.

“Saya menghubungi menteri sumber manusia (Ramanan) mengenai perkara itu, dan beliau berkata ia bukan kenyataan rasmi oleh kerajaan Bangladesh.

“Saya difahamkan kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang junior minister, jadi ia tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Bangladesh.

“Itulah yang dimaklumkan kepada saya oleh menteri sumber manusia (Ramanan),” kata menteri komunikasi itu.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas laporan media yang memetik Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, yang mendedahkan rancangan yang didakwa untuk Malaysia merekrut kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.

Shahe Alam dilaporkan berkata pekerja-pekerja itu akan direkrut melalui syarikat-syarikat yang diluluskan oleh pihak berkuasa Malaysia, dan proses itu akan bermula secara berperingkat pada akhir September dan siap dalam tempoh enam bulan.

"Mereka (Malaysia) akan menggaji kira-kira 200,000 pekerja. Daripada jumlah itu, mereka akan menggaji 10,000 pekerja secara percuma," kata Shahe Alam, seperti yang dilaporkan oleh The Daily Star.

Menurut laporan itu, yang juga dipetik oleh media Malaysia, Shahe Alam mengumumkan pengambilan yang dirancang susulan mesyuarat di Dhaka antara Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Shuhada Othman dan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar bandar dan Koperasi Bangladesh Abdul Moyeen Khan.

Dalam perkara berasingan, Fahmi hari ini berkata Wisma Putra telah menerima jaminan daripada Kementerian Luar Myanmar bahawa 1,476 pelarian yang akan dihantar pulang secara sukarela akan selamat daripada penganiayaan.


Baca berkaitan: UNHCR: Pelarian belum selamat kembali ke Myanmar


“Menteri Luar Negeri (Mohamad Hasan) maklumkan 1,476 pelarian Myanamr telah tandatangan dokumen mereka untuk sukarela pulang.

"Dari 10,000 nama dalam tahanan, 5,000 disaring - dihantar nama ke kedutaan. Dari 5,000, seramai 1,476 telah dipersetujui dari pihak Myanmar, 1,476 akan selamat di Myanmar, dan ini akan berlaku pada akhir September.

“Buat masa ini, Wisma Putra berkata bahawa perjanjian dengan Myanmar ialah 1,476 pelarian akan selamat,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) telah memberi amaran kepada Malaysia agar tidak menghantar pulang pelarian ke Myanmar ketika konflik dan keganasan berterusan, dengan mengatakan bahawa keadaan masih belum selamat untuk penghantaran pulang secara sukarela.

Agensi itu, yang tidak terlibat dalam program penghantaran pulang yang dirancang oleh Malaysia, berkata sebarang kepulangan mestilah secara sukarela, dimaklumkan dan dijalankan dengan selamat dan bermaruah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS