Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cabang pelaburan TH mungkin  diletak bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti
Diterbitkan:  Sep 3, 2026 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menilai cadangan perubahan dalam rangka kerja kawal selianya untuk meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata jawatankuasa pasukan petugas bersama, yang turut disertai pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berhasrat untuk meletakkan cabang pelaburan TH di bawah pengawasan SC susulan perbincangan yang mendalam.

“Selepas mempertimbangkan secara terperinci selama hampir enam bulan, kami menyimpulkan bahawa adalah lebih relevan untuk (cabang pelaburan) TH dikawal selia oleh SC.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna BNM tidak akan terlibat.

“Kami sedang memperhalusi rangka kerja untuk memastikan semua pengawal selia utama terlibat dalam struktur kawal selia TH pada masa depan,” katanya.

Rashid berkata demikian semasa sesi panel “Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji” anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia, di Bangi, hari ini.

Beliau berkata faktor utama SC dipilih sebagai pengawal selia utama adalah kerana 90 hingga 95 peratus daripada jumlah aset TH dilaburkan dalam pasaran modal dan bukannya dipegang dalam kecairan tulen.

Justeru, katanya, bidang kuasa kawal selia SC selari dengan struktur teras portfolio TH, memandangkan majoriti operasi institusi itu berkait secara langsung dengan pelaburan pasaran modal.

Namun begitu, beliau berkata, BNM akan terus kekal memainkan peranan penting menyelia kestabilan kewangan institusi itu secara keseluruhan.

“BNM akan terus berperanan mengawasi secara menyeluruh institusi kewangan dan kestabilan sistem kewangan negara.

"Hal-hal berkaitan kecairan akan sentiasa berada di bawah bidang kuasa BNM," katanya.

Rashid berkata kecairan memainkan peranan penting sebagai sandaran sekunder untuk mengurangkan potensi krisis atau kekurangan kecairan, sekiranya berlaku kehilangan keyakinan pendeposit secara tiba-tiba.

Mengenai perubahan perundangan yang diperlukan untuk menggubal rangka kerja kawal selia baharu, beliau berkata pindaan yang dicadangkan kepada Akta Tabung Haji akan dikemukakan tidak lama lagi.

Namun, katanya, proses itu akan mengambil masa kerana memerlukan penglibatan pemegang kepentingan.

Beliau berkata butiran terperinci teknikal perlu memastikan TH kekal utuh sepenuhnya sebagai sebuah institusi kewangan Islam dan simpanan.

Pada masa yang sama, cabang pelaburannya akan terus dimantapkan lagi untuk pengawasan kawal selia bagi menjamin standard keselamatan yang lebih tinggi untuk pendeposit.

"Proses meminda sesuatu akta akan melibatkan beberapa peringkat secara formal.

"Cadangan itu mesti dikemukakan terlebih dahulu kepada menteri, yang kemudiannya akan membawanya ke Kabinet untuk kelulusan. Setelah dipersetujui, ia akan melalui Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan akhir sebelum dibentangkan," kata Rashid.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS