Saya merujuk kepada kenyataan perdana menteri semalam yang menyatakan beliau tidak bertanggungjawab atas kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini, sambil menyalahkan bekas perdana menteri Najib Razak, serta Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Bahawa sesungguhnya masyarakat Rohingya adalah mangsa keganasan dan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera Burma yang kejam merupakan fakta yang tidak dapat disangkal, malah diakui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan perdana menteri ini memalukan, tidak berakhlak, dan mencemar imej negara di mata masyarakat antarabangsa.

Ia juga jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menggalakkan sokongan dan pembelaan terhadap golongan tertindas dan memerlukan bantuan.

Pelarian Rohingya tidak datang ke Malaysia sebagai pelarian ekonomi atau untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara ini. Mereka tidak tiba di sempadan kita dengan rela hati, sebaliknya terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkan diri daripada penyeksaan dan pembunuhan beramai-ramai.

Tiada sesiapa pun, sama ada lelaki, wanita, kanak-kanak, hatta bayi, yang terkecuali daripada pembunuhan kejam rejim Burma itu.

Jelas sekali Malaysia telah melakukan tindakan yang betul dan selaras dengan tanggungjawab antarabangsa serta prinsip PBB apabila menerima dan mengalu-alukan kehadiran masyarakat Rohingya sebelum ini.

Dakwaan Anwar kononnya orang Rohingya dibawa masuk semasa pentadbiran Najib juga merupakan satu pembohongan terhadap sejarah yang bertujuan meraih modal politik murahan bagi menyerang Umno dan PAS. Kemasukan orang Rohingya berlaku sebelum pentadbiran Najib lagi. Penderitaan orang Rohingya tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh Anwar dan konco-konconya.

Tambahan pula, pada 2016, Anwar – ketika masih dalam penjara – pernah menggesa Najib supaya mengambil tindakan konkrit bagi membantu orang Rohingya. Sikap beliau kini yang cuba menyalahkan pentadbiran terdahulu adalah satu hipokrisi yang nyata.

Beliau malah merancang untuk mengundang pemimpin Myanmar ke Malaysia, kononnya dengan menjalin hubungan dengan rejim yang menindas ini akan membuka jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi etnik Rohingya sejak berdekad lamanya.

Nasib Rohingya dan Palestin

Menggunakan lojik apakah beliau sanggup mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Israel untuk menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin? Terdapat persamaan ketara dari segi nasib yang menimpa etnik Rohingya dan rakyat Palestin; kedua-duanya mangsa rejim yang dianggap sebagai paria di peringkat antarabangsa.

Apa yang lebih mengejutkan ialah pengumuman Anwar bahawa beliau "terpaksa mengusir mereka".

Pertama, tindakan ini akan melanggar tanggungjawab antarabangsa Malaysia bawah prinsip "non-refoulement" (larangan menghantar pulang pelarian ke tempat asal di mana mereka berdepan bahaya).

Kedua, tindakan menafikan suaka kepada pelarian Rohingya yang terdesak ini juga tidak boleh diterima dan bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau bukan sahaja gagal mempamerkan kepimpinan bermoral, malah turut mengulang kata-kata kesat golongan xenofobik dan mereka yang menyebarkan propaganda kebencian kepada orang ramai.

Dakwaan yang diulang golongan jahil dan tidak prihatin, bahawa kononnya etnik Rohingya mengancam ekonomi mereka, adalah tidak berasas.

Isu ini serta jumlah individu yang terlibat boleh ditangani oleh kerajaan melalui langkah menyeluruh yang dirancang dengan teliti, dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pertamanya, rakyat Malaysia yang berakhlak sudah tentu akan menuntut supaya rancangan pengusiran etnik Rohingya yang tidak berprinsip dan kejam itu dihentikan serta-merta.

Kedua, kerajaan perlu menangani nasib pelarian Rohingya dengan penuh kesantunan dan kemanusiaan, berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Ketiga, kerajaan mesti mengambil tindakan penguatkuasaan segera terhadap semua pihak yang menghasut keganasan dan kebencian terhadap etnik Rohingya.

Susulan pengumuman mengejutkan pada Hari Malaysia, perdana menteri seolah-olah menghumban terus segala kepura-puraannya sebagai seorang reformis. Tidak ada reformis yang akan bercakap sedemikian rupa mengenai golongan yang menderita dan melarikan diri daripada penyeksaan serta pembunuhan.

Rakyat Malaysia yang berakhlak tidak akan bersetuju dengan pendirian Anwar.

Jika Anwar tidak mengubah pendiriannya berhubung isu Rohingya, sejarah dan generasi akan datang akan mengecam beliau, dan juga negara kita.


***LATHEEFA KOYA adalah peguam hak asasi manusia, pengasas Lawyers for Liberty (LFL), bekas pemimpin PKR serta bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.