Penjawat awam boleh guna aplikasi lain selain Tuju, tapi bukan Waze - Gobind
PARLIMEN | Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menyatakan bahawa penjawat awam boleh menggunakan aplikasi navigasi lain dan tidak terhad kepada aplikasi Tuju yang dibangunkan secara tempatan, susulan keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi.
Semasa sesi Soal Jawab Menteri, Gobind menegaskan bahawa sekatan tersebut khusus untuk Waze sahaja dan tidak bermakna penjawat awam diwajibkan beralih kepada Tuju semata-mata.
"Tidak ada dinyatakan bahawa kita hanya boleh menggunakan aplikasi Tuju sahaja.
"Memang disebutkan aplikasi Tuju, tetapi selain Tuju, kita juga boleh menggunakan aplikasi lain seperti Google Maps dan sebagainya," katanya sebagai menjawab soalan tambahan daripada Young Syefura Othman (Pakatan Harapan-Bentong).
Gobind turut menjelaskan bahawa larangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam hanya terpakai kepada penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi, dan bukan kepada orang awam.
"Pertama, ia merupakan larangan yang dikenakan terhadap kakitangan kerajaan ataupun penjawat awam, sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Ia tidak terpakai kepada semua rakyat Malaysia. Keduanya, ia hanya terpakai untuk urusan rasmi," katanya.
Menteri itu menjelaskan bahawa sekatan tersebut berpunca daripada kebimbangan mengenai keselamatan data dan bidang kuasa undang-undang, memandangkan terma perkhidmatan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, walaupun kita tidak menggunakan Waze, pergerakan kita masih boleh dikesan melalui aplikasi tersebut.
"Apabila kita meneliti perjanjian itu, jelas bahawa ia tertakluk di bawah bidang kuasa undang-undang Israel.
"Itu menjadi satu masalah bagi kita," katanya.
Gobind berhujah bahawa rakyat Malaysia mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang di Israel sekiranya timbul pertikaian berhubung penggunaan aplikasi tersebut.
"Sebab itulah kita mengenakan larangan terhadap Waze, khususnya atas pertimbangan undang-undang dan keselamatan," katanya.
Dia turut menyatakan bahawa, di bawah terma perkhidmatannya, aplikasi tersebut mengendalikan data yang dikumpul melaluinya di Israel.
Terdahulu, Young Syefura mempersoalkan sama ada Tuju sudah bersedia untuk menggantikan Waze, dengan merujuk kepada aduan mengenai prestasinya.
Ypung Syefura berkata dia telah memuat turun dan menguji sendiri aplikasi tersebut, namun mendapati ia mengecewakan.
"Saya sendiri memuat turun aplikasi Tuju, tetapi sebenarnya ia agak mengecewakan.
"Kami juga telah menerima maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan bahawa aplikasi itu belum cukup dibangunkan untuk digunakan pada peringkat ini," katanya.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, melancarkan Tuju pada bulan November tahun lalu; aplikasi ini dibangunkan melalui kerjasama antara LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Gobind, yang mengakui kritikan tersebut, menjelaskan bahawa Tuju pada asalnya dibangunkan untuk navigasi lebuh raya, bukan untuk liputan jalan raya secara menyeluruh.
Dia berkata aplikasi itu direka bentuk untuk menyediakan maklumat mengenai keadaan trafik di lebuh raya, plaza tol, kawasan rehat dan rawat, serta rakaman CCTV yang menunjukkan kesesakan.
Walau bagaimanapun, usaha sedang dijalankan untuk meluaskan liputannya melangkaui lebuh raya, termasuk keadaan trafik di jalan-jalan yang menuju ke lebuh raya utama.
"Saya bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan oleh wakil Bentong. Ramai yang menyatakan bahawa perkhidmatan ini perlu diperkukuh lagi.
"Ini adalah perkara yang sedang kami beri perhatian," katanya.
Gobind berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan, termasuk mereka yang terlibat dalam Tuju dan Pintas, untuk menambah baik lagi perkhidmatan navigasi yang dibangunkan secara tempatan.
"Kami mahu membangunkan aplikasi yang lebih baik. Kami akan meneliti bagaimana perkhidmatan sedia ada boleh diperkukuh lagi," katanya.
Dia menegaskan semula bahawa keputusan kerajaan itu bertujuan untuk menangani kebimbangan keselamatan berkaitan Waze, dan bukannya untuk mengehadkan penggunaan platform navigasi alternatif lain.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/4_232775.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.