Ujian sebenar integriti seseorang bukanlah dia mengecam kesalahan pihak yang tidak disukainya, tetapi apabila dia sanggup mempertahankan prinsip sama apabila ia melibatkan individu yang dihormati atau disokong.

Menurut pakar pakar psikologi sosial, seseorang yang membangkitkan isu integriti akan dilihat benar-benar jujur atau sebaliknya ketika ia berdepan dengan situasi yang memerlukan dia memilih.

Kata Dr Aini Azeqa Ma’rof, sesetengah orang mungkin tidak bersetuju dengan rasuah atau salah guna kuasa, tetapi memilih untuk membungkam kerana bimbang hilang pekerjaan, kedudukan, peluang atau hubungan baik dengan pihak tertentu

“Ujian sebenar integriti bukan ketika kita mengecam kesalahan orang yang kita tidak suka.

“Ujian sebenar ialah apabila kita sanggup mempertahankan prinsip yang sama walaupun kesalahan itu melibatkan orang yang kita hormati, kita kenali atau kita sokong,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas mengenai teguran dibuat tokoh perbankan negara yang juga bekas Pengerusi AmBank Group, Azman Hashim, mengenai gejala rasuah yang kadangkala dilakukan dibuat secara terbuka, Aini Azeqa berkata, bahaya untuk orang berpengaruh mengambil pendirian mendiamkan diri melihat kebejatan di depan mata.

Katanya pendekatan tersebut boleh menyebabkan sesuatu kesalahan akhirnya boleh diterima umum walaupun hakikatnya ramai yang tidak bersetuju.

“Di sinilah bahayanya budaya berdiam diri (melihat kebejatan).

"Sesuatu kesalahan boleh kelihatan seolah-olah diterima itu bukan kerana semua orang bersetuju, tetapi kerana terlalu ramai merasakan mereka tidak mempunyai ruang atau kuasa untuk membantah,” katanya.

Dr Aini Azeqa Ma’rof

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pandangan dua ahli akademik terhadap kenyataan Azman.

Dalam ucapannya, dia yang juga Canselor Open University Malaysia menegur sikap sesetengah orang yang tidak berasa malu untuk terlibat dengan rasuah.

Menurut Aini Azeqa apabila seseorang tokoh berpengaruh bersuara, tindakan sebegitu boleh memberi keyakinan kepada orang lain bahawa kebimbangan mereka bukan sesuatu yang terpencil.

Namun, kata pensyarah kanan dan Ketua Makmal Kesejahteraan Belia dan Komuniti di Institut Kajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia itu lagi, pada masa sama masyarakat tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada keberanian individu tertentu semata-mata, sebaliknya memerlukan sistem yang melindungi mereka yang bersuara secara bertanggungjawab.

“Jika hanya orang yang mempunyai nama besar, kedudukan atau pengaruh mampu bersuara dengan lebih selamat, itu menimbulkan persoalan tentang sejauh mana suara rakyat biasa benar-benar dilindungi,” katanya.

Pada masa sama, Aini Azeqa berkata, serangan peribadi terhadap individu yang membangkitkan isu kepentingan awam boleh mewujudkan chilling effect (kesan yang menyebabkan orang lain memilih untuk tidak bersuara).

Piawaian kena sama

Menurutnya, individu lain mungkin mula memikirkan risiko terhadap kerjaya, reputasi atau hubungan mereka selepas melihat apa yang berlaku kepada pihak yang bersuara.

“Apa yang berlaku kepada budaya masyarakat jika setiap kali seseorang membangkitkan isu yang tidak selesa, perhatian kita segera beralih daripada masalah yang (pokok) dibangkitkan kepada usaha menjatuhkan orang yang bersuara?” soalnya.

Sementara itu, pakar sosiologi politik, Dr Nur Atiqah Tang Abdullah, berkata tindakan tokoh korporat seperti Azman bersuara mengenai rasuah signifikan memandangkan golongan itu mempunyai pengaruh ekonomi dan sosial serta akses kepada ruang pembentukan dasar dan wacana awam.

Menurutnya, apabila individu dalam kedudukan sedemikian membangkitkan persoalan integriti, ia menunjukkan isu rasuah bukan semata-mata berkaitan penguatkuasaan undang-undang, tetapi turut menyentuh budaya kuasa dan akauntabiliti institusi.

Bagaimanapun, ahli akademik di Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu mengingatkan, kenyataan seorang individu tidak boleh dianggap mewakili keseluruhan komuniti korporat jika ia tidak disertakan dengan bukti mencukupi.

Pun begitu, tambahnya, kenyataan tersebut membuka ruang kepada persoalan lebih besar mengenai sejauh mana integriti masih menjadi prinsip yang benar-benar dihargai dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik di Malaysia.

Dr Nur Atiqah Tang Abdullah.

Nur Atiqah berkata sikap berhati-hati dalam kalangan tokoh korporat pula perlu dilihat dalam konteks hubungan dan kepentingan yang perlu dipertimbangkan oleh mereka.

“Dalam realiti sosial, tindakan bersuara mengenai isu sensitif tidak berlaku dalam ruang yang bebas daripada kepentingan dan hubungan kuasa.

“Tokoh korporat mungkin perlu mempertimbangkan hubungan perniagaan, kepentingan institusi, reputasi dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut ahli akademik itu lagi, seseorang mungkin mempunyai pandangan yang kuat tetapi perlu menilai implikasi profesional dan institusi sebelum menyatakannya secara terbuka.

Atiqah juga mengingatkan sikap berhati-hati itu tidak semestinya menunjukkan persetujuan atau ketakutan kerana setiap individu mempunyai pertimbangan berbeza.

Pada masa sama, dia menegaskan piawaian integriti mesti terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan, kekayaan, pengaruh atau kecenderungan politik.

“Di Malaysia, kita tidak boleh bersikap tegas terhadap rasuah hanya apabila melibatkan pihak yang tidak kita sukai, namun berdiam diri apabila ia melibatkan pihak yang kita sokong,” katanya.