Ketika Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan beralih daripada bahasa Melayu kepada bahasa Jawa ketika berucap di Dewan Rakyat mengenai krisis jerebu rentas sempadan, hanya seorang individu yang menjadi sasaran mesejnya - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Mesejnya jelas: Indonesia perlu segera menangani kebakaran hutan dan tanah gambut, manakala Asean perlu memperkukuh kerjasama serantau bagi mengelakkan masalah jerebu terus berulang.

Namun, wakil rakyat Bersatu itu tidak menyangka ucapannya akan mendapat perhatian meluas media Indonesia dan pengguna media sosial, malah ada yang melahirkan rasa kagum terhadap kefasihannya bertutur dalam bahasa Jawa.

Bagi Kalam, bertutur dalam bahasa Jawa bukanlah sesuatu yang asing, meskipun dia sendiri mengakui penguasaannya terhadap bahasa itu belum sempurna.

"Bapak saya dari Indonesia. Saya generasi kedua keturunan Jawa," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Kalam berkata dia menyedari ada rakyat Indonesia yang memuji pertuturannya dalam bahasa Jawa, termasuk sebutannya, namun mengakui tidak begitu mahir menggunakan bahasa Jawa halus.

"Saya minta maaf kepada warga Indonesia kerana bahasa Jawa yang saya gunakan bukan bahasa Jawa halus.

"Sepatutnya kalau kita nak bercakap dengan orang lebih tua, ada kedudukan, kita guna bahasa halus," jelasnya.

Dalam budaya Jawa, penggunaan bahasa mempunyai beberapa tingkatan yang berbeza mengikut hubungan, usia dan kedudukan sosial individu yang diajak berbicara.

Menurut Kalam, generasi lebih tua di Sabak Bernam masih mampu bertutur dalam bahasa Jawa halus, sedangkan dia lebih biasa menggunakan bahasa Jawa harian.

"Saya hanya guna bahasa Jawa yang saya faham, supaya makna tak salah dan pesan saya sampai.

"Kalau saya guna bahasa Jawa halus tapi salah, nanti jadi masalah juga," katanya.

Sambutan positif di sebalik ketegangan media sosial

Reaksi positif terhadap ucapan Kalam itu turut memperlihatkan suasana yang berbeza berbanding perang mulut antara pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, yang akhirnya mencetuskan kempen memboikot produk keluaran republik berkenaan.

Pertikaian itu bermula selepas Indonesia menjuarai Piala Asean Fifa 2026, apabila jenama produk penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf, memuat naik hantaran di Threads yang menggambarkan negara itu berada pada "tahap berbeza" berbanding negara jiran di rantau ini.

Hantaran berkenaan mencetuskan kecaman dalam kalangan pengguna media sosial Malaysia, termasuk seruan memboikot Kahf serta beberapa jenama Indonesia lain yang dijual di pasaran tempatan.

Kahf kemudian memadamkan hantaran tersebut dan memohon maaf.

Bagaimanapun, dalam suasana hubungan yang tegang di media sosial itu, ucapan Kalam dalam bahasa Jawa dilihat mendapat sambutan berbeza.

Sejumlah pengguna media sosial Indonesia mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam itu atas mesejnya kepada Prabowo, manakala yang lain memuji tindakannya bersuara ketika protes di republik tersebut semakin meningkat.

Reaksi itu memperlihatkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian rakyat Indonesia turut berkongsi kebimbangan Kalam terhadap masalah jerebu yang berulang, sekali gus menemukan titik persamaan di sebalik pertikaman lidah antara pengguna media sosial kedua-dua negara.

Hubungan merentas generasi

Hubungan Kalam dengan bahasa Jawa berkait rapat dengan sejarah kawasan Parlimen yang diwakilinya, apabila masyarakat berketurunan Jawa di Sabak Bernam terus mengekalkan hubungan budaya dan kekeluargaan dengan Indonesia sejak beberapa generasi lalu.

Dia menganggarkan kira-kira 70 peratus penduduk Sabak Bernam berketurunan Jawa, selain masyarakat berketurunan Banjar dari Kalimantan dan Kampar dari Sumatera.

"Dulu kan sebelum kedatangan penjajah kita semua satu rumpun Nusantara," katanya.

Bagi Kalam, hubungan itu bukan sekadar warisan sejarah.

Dia masih mempunyai saudara-mara di Indonesia dan terus berhubung dengan mereka, selain kerap berkunjung ke republik berkenaan yang disifatkannya sebagai antara destinasi pelancongan kegemarannya.

"Dua bulan lepas saya ke Probolinggo, Gunung Bromo, Kota Batu. Indonesia memang tempat sangat menarik untuk dikunjungi.

"Jadi tempat saya sendiri suka pergi, tiba-tiba saya nak menyindir mereka, itu tidak benar," katanya.

Sementara itu, beberapa media Indonesia menggambarkan ucapan Kalam di Parlimen sebagai sindiran terhadap Jakarta berhubung pengendalian kebakaran hutan dan tanah gambut yang berulang.

Malah, terdapat laporan yang menggunakan istilah "sindiran" bagi menggambarkan tegurannya terhadap Prabowo.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto

Bagaimanapun, Kalam menafikan bahawa dia berniat memperlekeh Indonesia atau pemimpin negara itu.

"Tak benar sama sekali kalau ada yang kata saya nak sindir orang di sana.

"Soal viral di Indonesia awalnya saya tidak memikirkan itu. Viral di Indonesia itu bukanlah harapan saya sebenarnya. Cuma sekarang ada media sosial," katanya.

Kalam menegaskan ucapannya dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sambil memaklumkan bahawa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, turut memberinya tambahan masa ketika perbahasan Rabu lalu.

"Sekiranya yang saya tuturkan itu menyebabkan orang sakit hati, sudah tentu Speaker minta saya tarik balik.

"Tapi sebaliknya dia beri lebih masa 10 minit kerana isu asap jerebu ini tanggungjawab semua," katanya.

Jerebu jejas kehadiran murid

Di sebalik perhatian yang diterima dari Indonesia, Kalam berkata isu berkenaan dibangkitkan kerana bimbang dengan kesan jerebu terhadap penduduk di kawasannya, khususnya murid sekolah.

Menurut bekas guru itu, walaupun sekolah di Sabak Bernam tidak diarahkan tutup, kehadiran murid merosot apabila ibu bapa bimbang menghantar anak mereka ke sekolah ketika keadaan berjerebu.

"Walaupun sekolah-sekolah di Sabak Bernam tidak ditutup, peratus kehadiran murid-murid sekolah menurun.

"Mak bapak tidak mahu hantar ke sekolah kerana jerebu, tapi mereka tidak ada PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), jadi itu merugikan.

"Daerah-daerah lain ada PdPR kerana sekolah ditutup sepenuhnya.

"Di Sabak Bernam yang tidak datang tidak belajar, jadi ketinggalanlah mereka," katanya.

Keadaan itu, jelas Kalam, mendorongnya membangkitkan isu berkenaan di Parlimen.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 pada Rabu lalu, Kalam menggesa Prabowo mengambil tindakan segera bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang menyumbang kepada masalah jerebu rentas sempadan di Malaysia dan Singapura.

Dia turut mempersoalkan kenyataan yang menggambarkan hutan Indonesia sebagai pembekal oksigen kepada Malaysia, dengan menyindir sama ada pokok di negara ini diperbuat daripada plastik.

Bagaimanapun, Kalam menegaskan mesejnya bukan bertujuan menyalahkan Indonesia semata-mata, sebaliknya mahu negara-negara Asean bekerjasama menangani masalah berkenaan.

"Bukan menekan Indonesia. Kita anggap apa yang berlaku di Indonesia satu kecelakaan yang dapat dielakkan jika ada kerjasama baik di peringkat Asean yang diketuai oleh Filipina sekarang," katanya.

Kalam turut berpandangan Indonesia wajar mendapatkan bantuan negara jiran sekiranya tidak mampu menangani kebakaran itu secara bersendirian.

Pada masa sama, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam pembakaran hutan secara haram, tanpa mengira kewarganegaraan atau kaitan dengan syarikat dari negara tertentu.

"Kalau ada kesalahan pembakaran hutan, tangkap semua. Tak kira kalau ada kaitan negara Malaysia, Singapura. Tangkap semua kalau ada bukti," tegasnya.

Bagi Kalam, perhatian yang diterima ucapannya di Indonesia bukanlah perkara utama, sebaliknya dia berharap mesej mengenai tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar dapat disampaikan kepada negara jiran yang turut berkongsi sejarah dan akar budaya dengan Malaysia.

Dia juga berharap ucapannya tidak disalah tafsir sebagai permusuhan terhadap Indonesia, negara yang masih mempunyai hubungan erat dengan identiti dan warisan keluarganya.

"Indonesia memang tanah leluhur saya.

"Saya masih ada keluarga di Indonesia. Kami masih berhubungan cuma saya tak mahu viral sampai menyusahkan mereka," katanya.