Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengingatkan semua pihak supaya tidak memburukkan seluruh masyarakat Hindu susulan penemuan dadah di sebuah rumah ibadat di Klang, Selangor.

Sambil mengecam segala kegiatan jenayah, khususnya pengedaran dadah dan penyalahgunaan rumah ibadat, MHS menegaskan dakwaan salah laku individu tidak boleh dijadikan asas untuk melabel seluruh masyarakat Hindu atau kuil-kuilnya.

Presidennya, Thanga Ganesan, mengingatkan semua individu, pertubuhan dan pihak, khususnya yang tidak terlibat secara langsung dalam hal ehwal Hindu, supaya tidak mengeksploitasi kejadian itu.

Dia memberi amaran terhadap tuduhan secara pukul rata, gelaran menghina dan tohmahan tidak berasas terhadap kuil serta masyarakat Hindu.

“Dakwaan salah laku jenayah dalam satu kejadian terpencil sama sekali tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk memburukkan keseluruhan agama atau rumah ibadatnya.

“Walaupun setiap individu berhak menyuarakan pandangan mengenai perkara berkepentingan awam, pandangan itu mesti berpandukan ketepatan fakta, tanggungjawab dan sikap saling menghormati,” kata Thanga pada kenyataan semalam.

Dia menegaskan MHS tidak akan berdiam diri terhadap “naratif tidak bertanggungjawab” yang memburukkan institusi agama Hindu secara tidak adil atau menjejaskan maruah masyarakat Hindu.

“Kritikan membina dan kebimbangan berasas berkaitan undang-undang dialu-alukan, tetapi retorik yang mengapi-apikan sentimen, tanggapan pukul rata yang berprasangka dan cubaan menjadikan sensitiviti agama sebagai bahan sensasi tidak mempunyai tempat dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia,” katanya.

Lima operasi, empat sindiket tumpas

Pada 23 Oktober, Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata polis menemukan 20.6 kilogram (kg) heroin di stor sebuah rumah ibadat di Klang Selatan.

Menurutnya, semakan mendapati rumah ibadat itu tidak berdaftar manakala tanahnya diwartakan untuk kemudahan pembetungan.

Serbuan itu sebahagian daripada lima operasi bersepadu membabitkan polis Selangor, Gombak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd.

Keseluruhan operasi itu memberkas empat sindiket dadah dan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, dianggarkan bernilai RM16.2 juta.

Menurut laporan media tempatan, rampasan itu merangkumi 81.3kg bunga ganja, 37kg ganja, 40kg ketamin dalam bentuk cecair dan katrij, 84 botol ekstasi cecair, 20.6kg heroin serta 25.4kg ketamin.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mencukupi untuk dibekalkan kepada sehingga 801,000 pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran penggunaan 0.3g bagi setiap pengguna,” kata Shazeli seperti dipetik The Star.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shazeli berkata lapan suspek, terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun, ditahan dalam operasi berkenaan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan, serta empat warga asing.

Menurut Shazeli, warga asing berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa serta memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Status kuil, siasatan jenayah berasingan

Sementara itu, Thanga menegaskan status pendaftaran kuil dan tanah yang dilaporkan perlu dibezakan daripada siasatan jenayah polis.

Katanya, persoalan mengenai pendaftaran, penubuhan atau status tanah rumah ibadat merupakan urusan pentadbiran dan undang-undang berasingan yang perlu ditangani melalui proses sewajarnya.

“Perkara itu sendiri tidak sepatutnya menimbulkan andaian berlakunya perbuatan jenayah,” katanya.

Dia turut mengingatkan jawatankuasa pengurusan kuil Hindu tentang tanggungjawab menjaga kesucian dan integriti institusi agama masing-masing melalui pentadbiran yang teratur, akauntabiliti serta pengawasan yang munasabah terhadap premis dan kemudahan mereka.

[Baca berita asal]