Gig 'hardcore berdarah' di Melaka: 10 ditahan, polis siasat kes bunuh
Polis menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh susulan kematian seorang peserta gig muzik bawah tanah aliran 'hardcore' di Melaka.
Mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di belakang kepala ketika menyertai aktiviti moshing pada acara di Kampung Jawa, Melaka Tengah, pada 17 Oktober.
Moshing ialah gaya tarian yang melibatkan pergerakan seperti saling menolak atau berlanggar, lazimnya di ruang hadapan pentas yang dikenali sebagai mosh pit.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas berkata mangsa yang bekerja sebagai penghantar bungkusan dikejarkan ke Hospital Melaka.
“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Melaka dan ditempatkan di Wad ICU sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Oktober 2026, jam 3.53 petang.
“Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan 10 orang suspek berumur antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Halim, kes itu pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau cara berbahaya.
Bagaimanapun, siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa, empat hari selepas kejadian.
Tambahnya, siasatan polis mendapati gig itu diadakan tanpa permit atau kebenaran daripada polis dan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, pengendali premis Bangunan.MLK berkata pihaknya memberikan kerjasama kepada polis dan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian bagi membantu siasatan.
Dalam kenyataan di Instagram, pengendali itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai “kemalangan yang tidak disengajakan”.
Menurut kenyataan itu, mangsa sedang melakukan aktiviti moshing di hadapan pentas sebelum berlanggar dengan seorang lagi individu, menyebabkan dia terjatuh dengan kepala menghentam lantai terlebih dahulu.
“Persembahan dihentikan sepenuhnya sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan mangsa dibantu oleh pengunjung lain serta kru penganjur,” menurut kenyataan itu.
Pengendali premis berkata mangsa meninggalkan lokasi itu sendiri. Pihaknya kemudian mendapat tahu mangsa telah dibawa ke hospital.
Lapor komen ini
/file/1184/4552a313ac0830358b921d2e46a0cc43.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.