Penonton tidak seharusnya menganggap tindakan membuli dan merendahkan orang lain sebagai sesuatu yang cool, sebaliknya perlu melihat kesudahan watak yang melakukan perbuatan itu, kata pengarah Kudrat 1968: High Council, Zulaikha Zakaria.

Zulaikha berkata adegan yang mungkin dilihat seolah-olah mengagungkan perbuatan buli dalam siri dan filem berkenaan sebenarnya mencerminkan realiti yang berlaku dalam masyarakat, termasuk di sekolah.

“Kalau tengok babak-babak cool ni, tengoklah sampai habis, tengok apa jadi pada watak-watak yang kita rasa cool ni.

“Sebab aksi cool ini bukanlah untuk merendahkan orang lain,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council di Kuala Lumpur, semalam.

Kudrat 1968: High Council ialah sebuah naskhah prekuel kepada siri Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024) terbitan Astro Shaw.

Mengulas kritikan di media sosial bahawa karya berkenaan mungkin mengagungkan budaya buli dan keganasan di asrama, pengarah dan merangkap penulis skrip itu berkata dia memastikan setiap tindakan watak mempunyai akibat yang jelas tanpa cuba menyembunyikan kesan perbuatan mereka.

Menurutnya, pengakhiran watak seperti Kuda (Mierul Aiman) dan Piji (Akmal Asyraf) menggambarkan akibat daripada perbuatan masing-masing, selain mengingatkan penonton tentang tanggungjawab individu yang menyaksikan kejadian buli tetapi tidak berusaha menghentikannya.

“Apabila kita nampak orang yang berkelakuan seperti itu, kalau kita tak hentikan, apa akan jadi?” katanya kepada Malaysiakini.

Bukan sekadar tempat tuntut ilmu

Zulaikha turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu membimbing anak-anak bawah umur ketika menonton siri atau filem berkenaan khususnya untuk membantu mereka memahami hierarki sosial yang boleh menjadi antara bentuk buli.

Katanya, karya itu turut mengambil inspirasi daripada kes-kes kematian dan keganasan di sekolah, dan diadun dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu berkenaan.

“Pada akhirnya, satu-satunya cara untuk menghentikan isu ini ialah dengan kita bersama-sama menyuarakannya.

“Karya ini sendiri merupakan salah satu bentuk suara,” katanya.

Zulaikha Zakaria.

Sebelum ini – ketika isu buli muncul dari semasa ke semasa – pelbagai pihak menyuarakan pandangan agar dihentikan pengasilan sebarang bentul karya melibatkan kes berkenaan

Misalnya Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki, yang menggesa agar drama atau filem yang secara tidak langsung mempromosikan budaya buli dilarang walaupun dibuat atas alasan ingin memberi pengajaran.

Menurutnya, karya sedemikian boleh mendorong golongan muda meniru perlakuan watak dalam cerita sehingga berlagak seperti kapla, taiko, otai dan sebagainya.

Pun begitu ada pihak berpendapat sebaliknya.


Baca: ULASAN | Kepada Asyraf Wajdi, dengan 'cinta'


Mengulas dialog watak Pengetua Kolej Ungku Deramat (Kudrat), Sir Gerald Burgess Thompson, yang menyebut sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar, Zulaikha berkata institusi tersebut merupakan lanjutan daripada rumah kerana pelajar menghabiskan sebahagian besar masa mereka di situ.

Katanya, sekolah bukan sekadar tempat untuk menuntut ilmu, malah ruang untuk membina persahabatan dan hubungan yang dianggap seperti keluarga.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan sekolah kekal selamat,” katanya.

Justeru, Zulaikha berharap ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam kehidupan persekolahan anak-anak walaupun berdepan kesibukan harian.

“Saya faham mungkin kita sibuk tetapi, apa yang jadi di sekolah tu ‘sambungan’ rumah. Macam mana kita mendidik anak kita di rumah, dia bersambung ke sekolah,” katanya.

Barisan pelakon, pengarah & penerbit eksekutif Kudrat 1968: High Council.

Mengulas kemungkinan penonton bawah umur atau mereka yang menonton tanpa bimbingan ibu bapa menerima tindakan ganas dalam cerita itu sebagai sesuatu yang mengagumkan, Zulaikha berkata, tafsiran penonton bergantung pada cara mereka memahami jalan cerita dan kesudahan setiap watak.

Katanya, dia sengaja memastikan akibat perbuatan watak dipaparkan secara terus terang supaya penonton tidak hanya tertumpu pada adegan yang kelihatan menarik atau cool.

Zulaikha berharap penonton menilai keseluruhan perjalanan cerita sebelum membuat kesimpulan mengenai tindakan watak-wataknya.

Kudrat 1968: High Council bakal ditayangkan di pawagam pada Khamis ini. Ia menyusul selepas siri premium berkenaan mula menemui penonton pada 11 Sept lalu.

Menurut siaran media Astro Shaw bertarikh 26 Okt, siri itu mencatatkan satu bilion tontonan video di media sosial dan menduduki tangga pertama Netflix Malaysia selama enam minggu berturut-turut.

Barisan pelakonnya termasuk Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad dan Evertts Gomes.

Filem itu meneruskan kisah konflik di Kudrat apabila kematian seorang pelajar cuba disembunyikan lalu mencetuskan ketegangan, selain memperlihatkan perselisihan antara pelajar elit dengan pelajar biasiswa yang mempunyai hierarki berbeza pada 1968.