Komentar: 'Tanya sama pokok apa sebab goyang'
"Apalah sangat segelas teh tarik untuk dikongsi dengan kawan-kawan," begitu seorang kenalan sering berkata. Dia memang begitu. Falsafahnya mungkin agak 'kasar' kerana bagi lelaki sudah berusia 40 tahun itu, demi persahabatan segelas minuman bukanlah sesuatu isu yang boleh memutuskan hubungan bertahun.
"Lebih daripada teh tarik pun aku rela kongsi," katanya.
Ia mungkin nampak remeh, namun di sebalik itu, tertegak suatu pengajaran - dalam hidup ini banyak perkara bermula dengan kepercayaan atau keyakinan.
Bertolak daripada sikap itu, banyak yang boleh dilakukan. Kepercayaan membolehkan berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Sebaliknya tanpa keyakinan masalah yang sekecil secebis dawai kokot terjatuh di lantai pun takkan dapat diatasi.
Suka atau tidak, hidup bagaikan jalan raya di sekitar Lembah Kelang. Hampir-hampir saja tidak pernah panjang umurnya untuk kekal rata, lancar dan lawa.
Terlepas pandang
Kadang-kadang jalan yang baru diturap seminggu dua akan digali semula untuk dimasukkan entah kabel apa di bawahnya.
FAM mungkin terlepas pandang tentang masalah jalan raya tetapi itu tidak akan menjadikan hidup lebih mudah.
Bergerak ke sana sini menaiki kapal terbang misalnya, tidak pernah menukar realiti hidup dan masalah menjadi lebih baik.
Apabila ada pengurusan bola sepak negeri enggan membenarkan pemain mereka beraksi untuk FAM atas nama Malaysia, tentu ada sebab dan alasannya. Ia bukan sekadar menunjukkan kedegilan atas sebab padang tidak rata atau pemain tidak mendapat jersi penaja.
FAM adalah badan induk bola sepak di negara ini dan persatuan peringkat negeri bernaung di bawahnya.
Dipercayai kemungkinan besar keengganan sesebuah persatuan bola sepak negeri bekerjasama dengan FAM bukanlah kerana mereka menyampah dengan jurulatih sedia ada, Dollah Salleh.
Dengan apa yang ada ketika ini agak selamat untuk bersangka bahawa Dollah adalah mangsa keadaan.
Sebaliknya, isu utama ialah FAM sendiri. Ada sesuatu di situ.
Jika benar itulah keadaannya, letaklah siapa pun sebagai jurulatih - waima Jose Maurinho pun - rasa enggan bekerjasama tetap akan begitu.
Sebagai pertubuhan berpengalaman dan matang FAM sepatutnya sudah faham benar apa yang berlaku dan apa pula yang perlu dilakukan. Mungkin FAM sudah melakukan apa yang mereka rasakan wajar. Masalahnya kewajaran itu cuma dirasakan oleh FAM sendiri.
Sistem, struktur tetap sama
Rasa kurang senang kepada FAM bukanlah baru. Lama. Apa yang baru hanyalah keberanian kebanyakan kita menunjukkan rasa kurang senang itu.
Misalnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu baru-baru ini mencadangkan FAM menubuhkan skuad sendiri tanpa mengambil pemain dari negeri.
Ia diusulkan oleh persatuan dan dikemukakan kepada FAM. Biasalah, ia akan ditolak. Cuma moral daripada kes yang satu itu ialah, semakin ramai yang kita boleh nampak semakin kurang selesa dengan FAM.
Tapi biasalah. FAM - setakat ini - masih FAM. Jalan raya masih tetap digali untuk berlubang, diturap, gali semula dan rosak untuk diturap lagi.
Masalah tetap menjadi masalah kerana sistem dan struktur sedia ada tidak dirombak, sebaliknya sekadar dihiasi dengan mekap yang baru.
Berapa banyak persatuan peringkat negeri yang sanggup 'berkongsi teh tarik' dengan mereka adalah sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Mungkin masih banyak, cuma rasanya tidak sebanyak dulu.
AL-ABROR MOHD YUSUF anggota redaksi Malaysiakini .

