Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Benarkah tiada kebetulan yang betul?

Sejujurnya, Siti pun tak pasti, tapi kebetulanlah yang menemukan Siti dengan lelaki yang menjadi suami Siti dulu.

Ketika itu kami semeja, sama-sama menyaksikan Liverpool membenam Manchester United 4-1 di Old Traford. Maaflah, Siti tak berapa ingat tahun berapa.

Asalnya, bekas suami menonton seorang diri di restoran mamak. Melangut sorang-sorang dia tak ada kawan. Siti pun - kerana kebetulan - datang tanpa teman dan terpaksa menumpang di meja dia kerana semua meja lain penuh.

Dari situ, perkenalan berputik hingga membawa ke jenjang pelamin. Siti masih ingat - selimut, bantal bahkan cadar katil pada malam pengantin, semuanya ada gambar Liverbird .

Ini betul-betul. Kerana kebetulan, kami sama-sama jadi peminat fanatik Liverpool.

Tapi, perpisahan bekas suami dan Siti - ya kami berceraian sudahnya - bukan kebetulan. Dia terpikat dengan anak muridnya sendiri, perbuatan yang betul-betul curang dan Siti takkan maafkan sampai bila-bila.

Perceraian pun betul-betul berlaku.

Bukan cubaan, tapi betul-betul - macam kata-kata Pendekar Mustar kepada Pendekar Bujang Lapuk ketika Cikgu Ros dilarikan penjahat.

Arsenal yang kelakar

Tapi, sembang pasal bola ni - yang mana kebetulan, yang mana betul-betul? Entah, Siti pun naik bingung. Kadang-kadang rasa ya, kadang-kadang rasa tidak.

Dalam perlawanan terbaru, mungkin ramai tak perasan nasib berbeza dua pasukan 'merah' - Liverpool ( The Reds ) dan Manchester United ( The Red Devils ) ada unsur kebetulan.

Misalnya, faktor 'pemain M' - Russel Martin yang meranapkan harapan Brendan Rodgers untuk menewaskan kelab 'lauk' seperti Norwich.

Pemain berhuruf 'M' dari MU - Anthony Martial pula menjaringkan gol ketika musuh tradisi Liverpool itu menewaskan Southampton 3-2.

Kebetulan? Mungkin.

Lagipun, jaringan Martin berlaku akibat kesilapan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet pada minit ke-61.

Anehnya, pada minit sama, penjaga MU, David de Gea melakukan aksi super save . Mengapa detiknya sama tapi keputusannya beza? Kebetulan? Tapi, ia betul-betul berlaku.

Apapun, paling kelakar bagi Siti ialah satu lagi pasukan 'merah' - Arsenal. Dengan jersi merah putih macam bendera Jepun, mereka tidak ada gol tapi 'jaringkan' dua merah.

Secara spontan Siti terus teringat cerita kawan yang menanggung aib kerana kainnya tiba-tiba kemerah-merahan kerana berlaku kejadian tidak disangka-sangka. Tak payahlah Siti perincikan sebabnya.

Dan bila bercakap tentang Arsenal, Siti tertanya-tanya juga. Mengapa pengurus mereka, namanya Arsene Wenger? Bukan Wira Kelana , misalnya.

Nama pasukan dan nama pengurus, seakan-akan sama bukan? Ini betul-betul fakta. Entah kebetulan atau disengajakan, Siti mana tahu (dan, tak nak tahu pun).

Yang sebenar-benar "betul" ialah The Gunners tidak pernah menang Kejuaraan Liga Juara-juara walaupun setiap tahun layak menyertai kejohanan paling berprestij bagi seluruh kelab bola sepak.

Apapun, Arsene Wenger dan Arsenal dianggap serasi walaupun, sepanjang lebih 10 tahun pengurusannnya hanya tiga kali menang kejuaraan Liga Perdana Inggeris, sedangkan Rodgers pada tahun kedua pengurusannya nyaris menang kejuaraan itu.

Cuma sekarang Siti rasa kedudukan Rodgers terancam . Nama Jurgen Klop sedang meniti di bibir jutaan peminat Liverpool.

Siti terfikir, jika mengguna pakai formula Arsene - Arsenal, tentulah bekas pengurus Borussia Dortmund itu lebih serasi. Klop for The Kop - nampak tak ritmanya? Kena sangat, bukan?

Sebenarnya - dalam bab ini, Siti betul-betul berharap kebetulan yang ini, betul-betul terjadi. Supaya ia menjadi pembetulan yang betul.


SITI MERAH MANJA sebenarnya tidaklah semanja namanya, terutama apabila pasukan pujaan hatinya diketawakan atau dihina. Pada masa tertentu Siti boleh 'naik angin satu badan' hanya kerana gurauan mengenai Liverpool.

Lihat Komen
ADS