Tiga hari lagi - itulah masa yang ada buat skuad Harimau Malaya sebelum turun mempertahankan maruah ketika berentap dengan pasukan Timor Leste pada 13 Oktober nanti.

Apa yang pasti mereka mengharapkan kemenangan sulung pada aksi kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu.

Selepas menang 3 - 1 ke atas Laos pada perlawanan persahabatan Khamis lalu, tonik keyakinan mungkin sudah ada bersama barisan anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Bagaimanapun, mereka tidak mendabik dada selepas melihat prestasi Timor Leste begitu memberangsangkan apabila mampu seri 1 - 1 menentang Palestin sebelum ini.

Bagi Kim Swee, tempoh yang ada sebelum sepak mula di gelanggang lawan itu diharap dapat memberi ruang kepada pemain melakukan persediaan rapi - atau sekurang-kurangnya beraksi lebih baik berbanding pertemuan pusingan pertama yang berkeputusan seri 1 - 1.

"Esok dan lusa saya harap mereka akan bertambah baik dan saya harap mereka akan cukup bersedia sebelum perlawanan berlangsung," katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Pusat Sukan Xanana, Dili , petang tadi.

Mungkin ada pertukaran

Mengulas mengenai sebarang perubahan kesebelasan utama berbanding perlawanan dengan Laos, beliau menjangkakan kemungkinan berlaku rombakan kecil.

"Kemungkinan hanya dua atau tiga pemain (ditukarkan) tetapi terpulang (kepada keadaan). Kita masih mempunyai masa sebelum perlawanan untuk saya menilai prestasi pemain.

"Kemudian saya akan memilih pemain yang betul-betul cergas untuk diturunkan," katanya yang menggantikan kerusi jurulatih sementara selepas peletakan jawatan Dollah Salleh, baru-baru ini.

Dalam pertemuan dengan Laos, Kim Swee menggantikan pemain pertahanan, Fadli Shas dengan pemain Pahang, Razman Roslan kerana masalah kecederaan.

Pada saingan kelayakan Piala Asia skuad negara sekadar mengutip satu mata dan berada di kedudukan tercorot kumpulan A berbanding Arab Saudi di tempat pertama dengan 12 mata, manakala Timur Leste memungut dua mata selepas empat perlawanan.