Kalaulah Sterling tahu...
Sekiranya bekas penyerang berbisa Liverpool, Raheem Sterling mengetahui lebih awal bekas pengurus The Kop , Brendan Rodgers, akan dipecat dia mungkin masih kekal di Anfield.
Lebih-lebih lagi jika dia mengetahui pengganti Rodgers adalah Jurgen Klopp.
Itulah yang didedahkan oleh ejen Sterling, Aidy Ward mengenai krisis antara pemain berusia 20 tahun itu dengan bekas pengurusnya di Anfield.
Ward berkata, Sterling keluar dari Liverpool kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rodgers sebagai jurulatih.
" Pengurus baru Liverpool (Klopp) mungkin sesuai dengan Sterling. Klopp menerapkan disiplin dengan cara betul, ada idea baru dan berani mencuba perkara baru. Dia akan menjadi luar biasa di Liverpool," katanya seperti dilaporkan Daily Mail semalam.
"Sudah tentu di bawah bimbingan Klop p, Sterling akan tampil lebih bagus. Klopp memiliki keghairahan dan keinginan tinggi meningkatkan prestasi pasukan.
"Bekerja dengan Klopp akan menjadi sesuatu yang hebat," kata Ward.
Bagaimanapun nasi sudah menjadi bubur. Sterling meninggalkan Liverpool dan kini menjadi hero Manchester City.
Dia disambar The Citizens dengan nilai perpindahan £49 juta (RM325 juta) dengan kontrak selama lima tahun.
Sterling juga tampil garang bersama skuad kendalian Manuel Pellegrini, malah mencipta hatrik pertama musim ini ketika mereka menewaskan Bournemouth 5 - 1, Sabtu lalu.

