" All the best ," kata Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan pemainnya Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Kenyataan itu dibuat Tunku Ismail melalui temubual eksklusif bersama beliau di Thailand dan rakamannya dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Kata Tunku Ismail, berlaku kekeliruan mengenai kedudukan Mohd Azrif ( gambar ) yang sebelum ini berminat bermain untuk kelab JDT.

"Kami minta maaf, kami buat silap dan telah selesaikan dengan pihak atasan FAS," kata beliau.

Semalam Malaysiakini melaporkan keluhan pengurus pasukan Selangor yang kecewa pemain mereka seolah-olah 'dicuri' di hari-hari terakhir pendaftaran.

Melalui Twitter Amirudin Shari berkata pemain berusia 24 tahun itu mengemukakan surat penebusan kontrak bernilai RM960,000 seminggu selepas menandatangani sambungan kontrak bersama Selangor.

Beberapa jam kemudian JDT membuat kenyataan terbuka meminta maaf kepada FAS.

Kenyataan itu dibuat sendiri Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya.

Mohd Fahmy juga menyatakan khidmat pencari bakat yang mencadangkan nama Mohd Azrif juga ditamatkan kerana gagal memberi maklumat lengkap kepada PBNJ.

Tunku Ismail berkata, Mohd Azrif tetap milik Selangor.

"Saya wish (ucapkan) Selangor dan pemain tersebut, all the best.

"Saya pun tak tahu mengapa media nak memanjang-manjangkan cerita (isu berkenaan)," katanya.

TEMURAMAH EKSKLUSIF BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DI THAILAND--------EXCLUSIVE INTERVIEW WITH HRH CROWN PRINCE OF JOHOR IN THAILAND

Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, January 19, 2016