'Walau belum habis dicat, tapi main boleh'
Walau stadium belum siap dihias sepenuhnya, jangan bimbang. Perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan dengan PDRM akan berlangsung mengikut jadual.
Dan dijangka ia tetap sengit seperti sepatutnya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata proses mengecat Stadium Sultan Muhammad IV itu terlewat sedikit kerana ia menggunakan bahan khas atas permintaan Datuk Seri Seri Hasmiza Othman.
Hasmiza adalah Penasihat Kehormat Kafa sekali gus penaja utama skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW).
Annuar berkata mungkin ada sedikit kelewatan daripada aspek penyediaan stadium.
"Akan delay (terlewat) sedikit tapi tak akan mengganggu perlawanan esok," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan surat penajaan MARA kepada pelajar di Kampus Bandar Raya Universiti Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail.
Kerjasama dengan kerajaan negeri
Kelantan adalah antara pasukan paling banyak mendapat perhatian peminat pada musim ini.
Antara lain ia disebabkan pasukan itu menjadi pencetus kepada pembabitan syarikat pengeluar kosmetik dalam sukan bola sepak.
Syarikat Hasmiza, Vida Beauty Sdn Bhd, menjadi penaja utama PQPTRW dengan
nilai RM16 juta untuk dua
musim.
Satu daripada syarat tajaan syarikat itu ialah Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu .
Annuar yang juga Pengerusi MARA menjelaskan buat masa ini pihak pengurusan stadium menyapu cat alas saja sebelum cat sebenar digunakan.
Mengenai aspek persediaan keselamatan, Annuar menjelaskan ia masih diusahakan dengan mengambil kira faktor usia stadium itu sendiri.
Stadium berkenaan dibina pada 1967 dengan kos kira-kira RM1.5 juta. Ia menjalani proses pengubahsuaian pada 2010 dan ketika ini mampu menempatkan kira-kira 22,000 penonton.
"Lagi pun ia berada di luar bidang kuasa Kafa. Stadium itu milik Perbadanan Stadium Kelantan.
"Justeru kita bekerjasama dengan kerajaan Kelantan," katanya.
Mengenai persediaan perlawanan malam esok, Annuar menjelaskan, ia sudah mendapat kebenaran daripada FAM.
"Untuk malam esok, OK. FAM dah luluskan bahawa esok stadium itu boleh dipakai," katanya.
Perlawanan esok adalah yang kedua membabitkan Kelantan dan PDRM. Dalam perlawanan pertama Sabtu lalu Kelantan hanya mendapat satu mata selepas seri tanpa jaringan dengan Perak, manakala PDRM bertandang ke Kota Bharu dengan berbekalkan tiga mata hasil kemenangan mengatasi Sarawak 1-0.

