Kelantan - dianggap antara pasukan elit pada musim ini - terpaksa berhempas-pulas untuk melayakkan diri bersama tujuh pasukan lain ke pusingan Piala FA malam semalam.

Dengan dibarisi pemain berpengalaman anak buah K Devan terpaksa menunggu hingga ke minit 83 untuk mencetak gol.

Lawan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors itu pula sekadar pasukan kelab divisyen bawahan , UKM FC.

Gol Kelantan dijaringkan pemain import dari Macedonia, Baze Ilijoski.

Satu lagi kejutan ialah Pulau Pinang. Beberapa hari selepas mencipta nama harum skuad berkenaan kecundang kepada satu lagi skuad bertaraf kelab, Kuantan FA.

Ketika cerita tentang 'keajaiban' gol tendangan percuma Faiz Subri masih panas, Pulau Pinang tunduk 2-4 kepada pasukan berkenaan.

Sementara itu Bernama melaporkan tujuh pasukan yang mara ke pusingan ketiga (bersama Kelantan) ialah Sabah, Negeri Sembilan, Felda United, Kuala Lumpur, Perak, Kuantan FA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Negeri Sembilan pula mara selepas menang 2-0 ke atas wakil kelab Piala FAM, Sungai Ara FC di Stadium Mini Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hasil jaringan Daniel Ting pada minit ke-65 dan Joel Chianese, selang empat minit kemudian.

Turut meraih kemenangan dengan jaringan sama adalah Felda United yang mengatasi PB Ipoh di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang menerusi gol Francis Forkey Doe pada minit ke-41 dan Nor Fazly Alias pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Shahzan Muda 'ditembak' ATM

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Kuala Lumpur mara ke pusingan ketiga selepas menang 4-2 ke atas Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu, terikat 1-1 sehingga masa tambahan 30 minit dengan Kuala Lumpur mendahului menerusi jaringan Anselmo Casagrande pada minit keempat, sebelum Jasmir Mehat menyamakan kedudukan untuk Melaka United pada minit ke-89.

Juara dua kali Piala FA, Perak melangkah ke pusingan ketiga selepas menang selesa 3-1 ke atas Sarawak di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol skuad 'The Bos Gaurus' dijaringkan Thiago Junior pada minit ke-81, Firdaus Saiyidi (91') dan Ahmad Khairil Anuar pada minit ke-111.

Dalam pada itu, wakil kelab Piala FAM, Kuantan FA melakar kejutan selepas menewaskan juara Piala FA 2002, Pulau Pinang 4-2 selepas tambahan masa 30 minit pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Empat gol skuad 'The Seagulls' disumbangkan oleh Dao Bakary pada minit ke-90 dan 113', Shunsuke Nakatake (105') dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-109, manakala Matias Cordoba menjaringkan dua gol untuk Pulau Pinang pada minit ke-80 dan 110'.

ATM pula menundukkan Shahzan Muda 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, manakala Sabah mengatasi Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.