Menjelang Kongres Luar Biasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang bersidang di Zurich hari ini, gosip mengenai pengganti Sepp Blatter semakin kuat diperkatakan.

Direbut lima calon, peluang untuk mengisi kekosongan Blatter dilihat agak seimbang kerana tokoh yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.

Lima tokoh yang bertanding kali ini ialah Sheikh Salman Ibrahim al-Khalifa, Gianni Infantino, Tokyo Sexwale, Jerome Champagne dan Putera Ali al-Hussein.

Bagaimanapun, media antarabangsa dilihat menjangkakan persaingan sengit hanya melibatkan dua calon iaitu Sheikh Salman dan Infantino.

Salman yang juga presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) itu dikatakan mendapat sokongan perwakilan Asia dan sebahagian besar perwakilan Afrika.

Infantino - berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Eropah sejak 2009 - pula dilihat akan menjadi pilihan wakil wilayah berkenaan, selain mampu mencuri perhatian sebahagian badan bola sepak Afrika.

Undi dari Afrika penting

Daripada 207 anggota Fifa, Afrika memiliki perwakilan paling ramai iaitu 54 orang, disusuli Eropah dengan 53 dan Asia 46 perwakilan.

Selain itu, Amerika Selantan dan Tengah diwakili 35 perwakilan, Amerika Selatan 10 perwakilan dan 11 perwakilan dari rantau Oceania.

Terdahulu, pimpinan persekutuan bola sepak Afrika (CAF) dan AFC mengulangi kenyataan sokongan mereka terhadap Salman.

Sekiranya dua badan itu memberi undian penuh kepada kerabat diraja Bahrain itu, 100 daripada 207 undian akan berpihak kepada beliau.

Wakil presiden CAF Suketu Fatel dilapor berkata, mereka telah mengadakan perbincangan mengenai tokoh yang bakan dipilih.

"Kami berpendapat akan menyokong beliau (Salman). Kami kira beliau akan menajdi tokoh yang akan mengambil berat terhadap kami.

"Walaupun tidak semua 53 perwakilan dari Afrika memilih Salman, tetapi majoriti akan memilih beliau dan saya anggap itu akan menjadi kunci," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat dilaporkan akan berpihak kepada Putera Ali seperti mana diumumkan oleh presidennya, Sunil Gulati sebelum ini.

Ali dan Infatino dikhabarkan turut berusaha keras memujuk badan bola sepak di Afrika supaya berpihak kepada mereka.