Insiden Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kena boo penyokong Kedah di Stadium Darul Aman pada 2 Mac lalu mungkin luahan spontan penyokong pasukan Hijau Kuning yang tidak berpuas hati atas beberapa perkara.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tidak mustahil insiden itu didorong oleh kekecewaan serta kesedihan rakyat Kedah yang melihat bagaimana dia diperlakukan ketika krisis kepimpinan Kedah baru-baru ini.
"Agaknya ia (sorakan itu) dilakukan secara spontan (sebagai) respon penyokong Hijau Kuning yang tak puas hati.
"Mungkin (disebabkan) pelbagai perkara. Ada juga di kalangan mereka yang rasa kecewa serta sedih, malah marah - mungkin - dengan apa yang dah berlaku pada saya. (Mereka) rasa tak puas hati (dengan) kemelut politik Kedah yang mengakibatkan saya digugurkan," katanya dalam temubual bersama
Malaysiakini
semalam.
Ahmad Bashah ialah menteri besar baru Kedah yang dilantik menggantikan Mukhriz pada 4 Februari lalu selepas politik negeri itu mengalami gelora beberapa ketika.
Nama Mukhriz dijadikan bahan kempen oleh BN ketika parti itu cuba merampas Kedah daripada penguasaan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Dapat lonjak lebih jauh
Selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar, Mukhriz juga melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Sehingga kini jawatan itu masih kosong dan Ahmad Bashah dijangka dipilih mendudukinya tidak lama lagi.
Ahmad Bashah turun untuk kali pertama ke Stadium Darul Aman - atas kapasiti menteri besar - untuk menyaksikan perlawanan Kedah menentang Kelantan.
Di sebalik insiden kena boo beberapa kali itu, skuad Kedah berjaya mengatasi Kelantan dengan jaringan 2-1.
Mukhriz berkata walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan Presiden KFA beliau berharap penyokong tetap memberikan dukungan serta semangat kepada skuad Helang Merah mengharungi cabaran Liga Super.
"Penyokong membanjiri Stadium Darul Aman adalah petanda baik dan menunjukkan mereka tak terlalu kecewa sehingga meninggalkan pasukan Kedah.
"Bagi saya itu satu (legasi) saya sebagai Presiden KFA terdahulu dan berharap ia dapat melontakkan lagi prestasi permainan pasukan lebih jauh," katanya.
