Kemelut melanda Jose Mourinho dan bekas pegawai perubatannya di Stamford Bridge berakhir semalam selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.

Penyelesaian itu juga menyaksikan Chelsea terpaksa mengaku salah dan memohon maaf kepada Dr Eva Carneiro.

Melalui penyelesaian itu Eva memperoleh pampasan bernilai £1.2 juta (RM7 juta) yang dipersetujui sejurus sebelum wanita terbabit memberi keterangan dalam sebuah tribunal yang menyiasat tuduhan diskriminasi seksual terhadap Mourinho.

Mourinho dan pemilik Chelsea Roman Abramovich (gambar) membuat kemunculan mengejut di Tribunal Buruh Croydon di London Selatan untuk menyatakan kesediaan mereka menyelesaikan pertikaian berkenaan di luar perbicaraan.

Sebelum ini - melalui dokumen dikemukakan Chelsea kepada tribunal itu - Eva menolak tawaran wang berkenaan.

Penyelesaian hanya dicapai selepas Chelsea bersetuju memohon maaf kepada Eva, 42, atas layanan diberikan terhadapnya ketika berkhidmat dengan kelab berkenaan.

Eva yang sering menarik perhatian ramai setiap kali Chelsea bertarung di atas padang, diketepikan Mourinho selepas dia didakwa mengganggu perlawanan pertama kelab itu pada musim lalu.

Menjelang wisel penamat, penyerang Chelsea, Eden Hazard kelihatan cedera dan Eva serta pembantunya masuk ke padang untuk memberikan rawatan.

Bukan cari publisiti, mata duitan

Bagaimanapun kejadian pada 8 Ogos 2015 itu tidak disenangi Mourinho kerana dianggap mengganggu rentak permainan dan menjejaskan serangan The Blues.

Selepas perlawanan yang berakhir seri 2-2 itu Eva mula diketepikan sebelum dia akhirnya meninggalkan Stamford Bridge.

Bagaimanapun permohonan maaf yang diterima Eva adalah daripada bekas kelabnya dan bukan Mourinho.

Pengurus yang dikenali dengan gelaran The Special One itu sepatutnya disoal siasat peguam Eva selama dua hari pada minggu depan di tribunal berkenaan.

Dokumen penyelesaian kedua-dua pihak juga menunjukkan perubahan ketara.

Sehari sebelum itu Chelsea cuba menggambarkan Eva sebagai pegawai yang mencari publisiti murahan, mata duitan dan tidak mempunyai komitmen dalam tugasnya.

Melalui penyelesaian dicapai Chelsea mengakui Eva tidak melakukan sebarang kesalahan pada perlawanan Chelsea - Swansea lalu.

"Kelab kesal atas kejadian yang membawa kepada pengunduran Dr Eva dan memohon maaf tanpa syarat kepada beliau dan keluarganya atas kesan yang berlaku daripada insiden berkenaan.

"Kami menegaskan beliau mematuhi peraturan perlawanan dan tanggungjawabnya sebagai doktor ketika berlari masuk ke padang membantu pemain.

"Dr Eva sentiasa mengutamakan kepentingan pemain kelab lebih daripada yang lain. Beliau seorang doktor sukan yang sangat cekap dan profesional. Dr Eva adalah anggota perubatan kelab yang berharga dan berharap beliau terus berjaya dalam kerjayanya," kata kenyataan Chelsea itu.

Eva - yang dibayar kira-kira £280,000 (RM1.65 juta) setahun - mendakwa Mourinho bukan saja memanggilnya "anak sundal" ketika berlari menuju Hazard, malah secara berterusan mendesak supaya dia ditugaskan bersama skuad wanita Chelsea.

Eva turut mengadu sering dihamburkan dengan kenyataan lucah daripada rakan sekerjanya di kelab berkenaan, selain sorakan berbaur seksual ketika perlawanan.