Neymar mohon maaf terlajak celupar
Bintang bola sepak Brazil dan Barcelona, Neymar, tampil memohon maaf secara terbuka selepas mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah ekoran kegagalan pasukan negaranya dalam saingan Copa America 2016.
Neymar turut mengakui kesilapannya mengeluarkan kenyataan itu secara semberono.
Brazil adalah nama besar dalam bola sepak dan menjadi pasukan digerusi - sehinggalah pada tahun-tahun terakhir ini apabila mereka gagal menyinar seperti dijangka.
Kali terakhir mereka menjulang Piala Dunia ialah pada 2001.
Pada Copa America kali ini mereka 'bungkus' lebih awal apabila gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan dengan kekalahan 0-1 kepada Peru.
Pengurus Brazil, Dunga, turut dipecat.
Kecewa dengan prestasi rakan-rakan senegaranya, Neymar memuat naik sekeping gambar dia memakai jersi skuad Canarinho kebanggaannya diiringi komen kasar.
Menyesali perbuatan tersebut pemain berusia 24 tahun itu kemudian memuat naik gambarnya ketika beraksi bersama Brazil disusuli kenyataan maaf.
"Lima minit berada di Brazil sudah cukup untuk saya menyedari kata-kata saya itu kasar dan menimbulkan kesan negatif.
"Apa yang saya dengar daripada orang yang ditemui di lapangan terbang mengatakan saya keterlaluan dan saya akui. Saya memohon maaf kepada semua orang, sekurang-kurangnya itu saja saya boleh lakukan ," katanya.
Neymar merupakan seorang bintang bola sepak yang menjadi tumpuan ramai dengan jumlah pengikut di Instagram mencecah 51 juta.
Pelbagai reaksi diberikan pengikutnya susulan tindakan kurang bijak itu.
Pada saingan Copa America yang berlangsung di Centenario itu, Neymar tidak dipilih untuk menyertai pasukan negaranya kerana diberi tanggungjawab untuk fokus kepada skuad Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.
"Sekarang saya perlu memohon maaf dan menikmati baki percutian saya sebelum membuat persiapan untuk Sukan Olimpik.
"Itu adalah matlamat kami sekarang," katanya.

