Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan sumbangan RM500,0000 kepada pemain golf negara Shaaban Hussin yang kehilangan kaki kirinya setelah terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada Mac lalu.

Daripada jumlah tersebut, RM407,000 merupakan hasil kutipan kejohanan amal Shaaban Hussin Golf Charity Pro-Am anjuran DRB Hicom yang diadakan di Glenmarie Golf and Country Club di Shah Alam hari ini.

Dalam ucapan beliau, Najib berkata kerajaan akan menggenapkan jumlah sumbangan kepada RM500,000 untuk digunakan bagi tujuan pemulihan serta menampung kos pendidikan anak-anak Shaaban.

"Berdasarkan apa yang kita tahu tentang Shaaban, saya yakin beliau tidak akan larut dalam kesedihan, sebaliknya bangkit untuk menghadapi segala cabaran.

"Kita semua di sini hari ini bagi membantu beliau memulakan hidup baru dan kita yakin Shaaban boleh menyumbang kepada pembangunan golf dan sukan di Malaysia," kata Najib yang turut menyertai pertandingan golf amal tersebut.

Turut meluangkan masa menyumbang termasuk pemain golf profesional Kenneth De Silva, Sukree Othman, Danny Chia dan Kemarol Baharin.

Najib menzahirkan harapan agar Shaaban dapat memulakan kerjaya baru sebagai jurulatih golf dan membuka akademi golf sendiri pada masa akan datang.

Keinginan tak pernah hilang

Ditemani isteri dan dua anak lelakinya, Shaaban semasa bercakap kepada wartawan mengungkapkan rasa terharu dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata akan mengambil masa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran berkhidmat sebagai jurulatih golf.

"Sampai masanya baru saya akan fikir untuk jadi coach.

"Tadi ada cakap untuk berbincang dengan saya (tentang tawaran) tapi itupun terpulang pada saya. Memang satu rezeki bagi saya...tapi saya tidak boleh buat keputusan terburu-buru," kata Shaaban.

Antara tawaran yang diterima adalah dari Kelab Golf Seri Selangor yang telah menaungi Shaaban selama lebih 10 tahun.

Sebagai bekas pemain golf profesional, Shaaban turut mengakui bahawa keinginan untuk kembali ke lapangan tidak pernah hilang.

"Kalau boleh sekarang pun saya nak main..." katanya yang kini turut lumpuh tangan kiri dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Dalam kejadian pada 31 Mac yang lalu, Shaaban cedera parah ketika motosikal yang ditunggangnya terbabas berhampiran susur keluar Rawang di Lebuh Raya Utara Selatan.

Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan untuk menjalani latihan di Glenmarie Golf and Country Club.

Shaaban merupakan pemenang tempat kedua dalam siri Jelajah Asia di Kejohanan Terbuka Kamboja 2009; pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 serta telah tiga kali menyertai siri Jelajah PGA AS CIMB Classic pada tahun 2010 sehingga 2012.