Susuk tubuh yang digambarkan "tidak seimbang" dan tidak kekar berotot walaupun hampir saban hari berkeringat di atas gelanggang, dia tetap cepat menangkap pandangan ramai.

Dia Goh Liu Ying, atlet badminton negara yang mencapai pingat perak di temasya Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

Perhatian kepada atlet negara terutama yang menyinar dalam mana-mana kejohanan utama dunia itu perkara biasa. Namun apabila watak yang diperhatian itu ialah Liu Ying, fokus yang diberi ternyata lebih.

Memiliki kelebihan tersendiri, termasuk tubuh badan dan wajah jelita, maka tidak hairanlah dia disebut-sebut sesuai menjadi model untuk beraksi di atas pentas berbanding gelanggang.

Namun bagi Liu Ying sendiri, dia tidak berhasrat untuk menceburi bidang itu - sekurang-kurangnya buat masa ini.

Dalam wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini Liu Ying memberitahu antara cabaran dihadapinya untuk mencabar pemain lain di peringkat dunia ialah mencapai tahap kecergasan sepatutnya.

Masalahnya, dia pernah mengalami kecederaan ligamen dan terpaksa dibedah untuk pemulihan. Selebihnya ialah detik yang menjerihkan kerana perlu berlatih lebih agresif selepas berehat selama lapan bulan.

Memetik bapa Liu Ying, Goh Chak Wee, akhbar itu melaporkan atlet terbabit terpaksa bekerja keras melebihi orang lain kerana tidak memiliki otot yang sepatutnya.

"Walaupun menjalani latihan setiap hari otot-ototnya tetap tidak timbul," katanya.

Namun di mata peminat rupa-rupanya ia bukan masalah.

Semalam Malaysiakini melaporkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar "bimbang" apabila ramai orang menunjukkan minat kepada Liu Ying.

Soal hati biar rahsia

Khairy sendiri dilaporkan berdepan dengan pengalaman diminta nombor telefon untuk mereka menghubungi Liu Yang.

"Masalahnya setiap orang - sama ada Cina, Melayu atau India - semua minta nombor telefon Liu Yang daripada saya. Tapi saya tak ada (nombor Liu Yang)," kata Khairy dilaporkan akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah.

Liu Yang pernah bermain secara solo selama lima tahun sebelum Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan dia dijadikan pemain beregu wanita.

Bagaimanapun pada 2012 Liu Ying menjalani proses pengubahsuaian apabila diletak sebagai pemain beregu campuran.

Pada temasya Olimpik Rio baru-baru ini Liu Ying berpasangan dengan Chan Peng Soon.

Menurut Chak Wee anak perempuan tunggalnya itu didedahkan kepada sukan badmionton seawal usia lima tahun.

Ketika berusia 11 tahun Liu Ying sudah bermain mewakili negeri kelahirannya, Melaka.

Memiliki ketinggian 166 sentimeter dan berat 56 kilogram, makanan kegemaran Liu Ying ialah kulit ayam bergoreng garing. Cuma ia bukanlah hidangan yang sihat dan terpaksa melupakannya demi badminton.

 

 

Akhbar itu melaporkan Liu Ying sendiri menyedari susuk tubuhnya "kurang sesuai" untuk menjadi atlet, malah mendakwa postur bahagian atas badannya tidak seimbang dengan bawah.

Mencapai berusia 27 tahun pada 30 Mei lalu anak sulung daripada tiga beradik itu bercadang membuka akademi badminton sendiri di negeri kelahirannya suatu hari nanti.

Menjalani latihan setiap hari - kecuali Ahad - cabaran terkini Liu Ying ialah Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada tahun depan.

Badminton juga menyebabkan dia dilaporkan belum memikirkan tentang perkahwinan.

Namun lapor akhbar itu Liu Ying sekadar tersenyum apabila ditanyakan sama ada hatinya sudah dimiliki mana-mana lelaki atau tidak.