Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Jawatan presiden FAM: Annuar yang pertama
Diterbitkan:  Feb 6, 2017 2:24 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Jangkakan kehangatannya.

Seorang lagi tokoh hari ini mengesahkan penyertaan dalam perebutan jawatan presiden FAM.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menjadi calon pertama membuat pengesahan bertanding merebut jawatan itu pada kongres ke-53 FAM, 25 Mac ini.

Annuar yang kini penasihat Kafa menghantar surat pengesahan menerima pencalonannya kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, tengah hari ini.

"Alhamdulillah. Serah borang menerima pencalonan jawatan presiden FAM, calon pertama atas semangat kesukanan," kata Annuar dalam tulisan terbaru di Facebooknya.

Seorang lagi tokoh yang sudah menyatakan kesediaan bertanding - namun belum menyerahkan borang pengesahan - ialah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kedua-dua mereka terlibat - sama ada secara langsung atau tidak - dalam perbalahan mengenai bola sepak, malah perkembangan itu turut menyaksikan Annuar digantung jawatannya sebagai pengerusi MARA.

Ketua Penerangan Umno itu juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Tunku Ismail tampil dengan pendedahannya mendakwa wujud unsur salah guna kuasa melibatkan MARA melalui penajaan pasukan bola sepak Kelantan yang diterajui Annuar sebelum ini.

Annuar dalam reaksinya selepas itu bagaimanapun menjelaskan, MARA tidak pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan "walau satu sen" pun.

Malah kata Annuar, logo 50 tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW dipamerkan secara percuma, walaupun ia sebenarnya bernilai RM250,000.

Selain itu, pemilik kelab JDT itu juga pernah menggemparkan peminat bola sepak tanah air dengan dakwaan rasuah melibatkan FAM melalui kandungan maklumat dalam sebuah pendrive.

Bagaimanapun, siasatan lanjut oleh SPRM mengesahkan tiada bukti-bukti menunjukkan dakwaan tersebut.

Sementara itu, dua lagi calon yang layak bertanding kerusi panas FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.
 

Lihat Komen
ADS